Anda di sini

Malaysia baharu dibentuk hasil kesedaran rakyat: Anwar

Advertisement
ANWAR disambut meriah ketika tiba di majlis itu.
ANWAR disambut meriah ketika tiba di majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia baharu berjaya dibentuk adalah hasil kesedaran daripada seluruh rakyat negara untuk bersatu bagi menolak rejim pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan rasuah.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat Malaysia sangat istimewa kerana tanpa mengira kaya atau miskin, dari peringkat atasan sehinggalah akar umbi semua memberikan sokongan untuk membentuk kerajaan baharu.

"Apa yang penting Anwar dan Mahathir berpakat, kita buang yang keruh dan berpakat untuk selamatkan negara.

"Penggunaan duit untuk membeli undi adalah cara pemerintahan lalu, kini kita sudah tukar, kita mesti hentikan rasuah, hentikan sikap perkauman dan kita mesti berubah," katanya ketika menyampaikan amanat dalam Lawatan Rasmi ke Negeri Sabah, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, negara tidak akan bebas sekiranya bukan wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu katanya, keadaan itu akan dijadikan peringatan kepada kerajaan baharu yang ada pada hari ini khususnya pemimpin.

"Semua pemimpin kena berubah, jangan sombong, jangan guna kuasa mencari kekayaan, mengugut atau beli undi...kalau budaya ini wujud dalam PKR, saya tidak teragak-agak untuk menendang individu itu keluar dari parti.

"Saya juga tidak suka akan budaya yang membuang kerusi ketika dalam pemilihan PKR baru-baru ini, kita akan buang individu itu kerana itu bukan budaya parti kita," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, kini Pakatan Harapan sudah membentuk kerajaan, semua pemimpin di seluruh negara perlu berusaha dengan lebih gigih untuk memenuhi janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat.

"Kami percaya di bawah kepimpinan Anwar nanti, kita mampu merealisasikan perkara ini dengan lebih baik lagi.

"Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya akan memastikan industri pelancongan di Sabah akan dibangunkan dengan lebih mampan," katanya.

Menurutnya, setakat bulan Julai 2018, ketibaan pelancong ke Sabah meningkat kepada 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu..

Christina yakin dengan perkembangan positif itu ianya akan berterusan sehingga hujung tahun ini dan yang akan datang.

  • oleh
  • Advertisement