Anda di sini

Kerajaan sambut baik cadangan PM laksana Projek Jana Kuasa Arang Batu di Pantai Timur Sabah

Advertisement
 Shafie (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sabah 2018, di Kota Kinabalu pada Sabtu.
TAHNIAH: Shafie (kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sabah 2018, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan Projek Jana Kuasa Arang Batu di bahagian Pantai Timur Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagaimanapun kerajaan terlebih dahulu perlu mengkaji secara menyeluruh cadangan terbabit bagi memastikan ia tidak memberi kemaudaratan kepada alam sekitar.

“Kita sambut baik cadangan ini kerana Sabah adalah negeri yang jauh ketinggalan dari segi keupayaan membekalkan tenaga, selain kita menghadapi masalah bekalan air dan elektrik serta kadar tarif yang agak kompetitif.

“Setakat ini, kadar kita dalam lingkungan RM0.40 sen berbanding negeri lain dan ini perlu diteliti secara mendalam kerana kebanyakan pembekal tenaga masih menggunakan diesel yang mahal dan memberi kesan tidak baik kepada alam sekitar.

“Jadi kita akan lihat bagaimana kita mahu menggunakan arang batu supaya ia tidak memberi kesan kepada alam sekitar atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sabah 2018, di Politeknik Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Baru-baru ini Dr Mahathir berkata, kerajaan pusat tidak akan meneruskan pelaksanaan projek tenaga nuklear, tetapi berhasrat untuk memanfaatkan sumber arang batu yang dilihat memiliki banyak manfaat di Sabah dan Sarawak.

Jelas Shafie, kajian secara menyeluruh itu juga bagi memastikan kerajaan dapat  mengenal pasti potensi arang batu yang dikatakan empat kali ganda jauh lebih murah berbanding sumber tenaga lain.

Katanya, ia bersesuaian dengan kapasiti bekalan arang batu yang cukup besar di negeri ini untuk digunakan sekali gus beralih dari bergantung kepada penggunaan diesel.

“Cadangan ini juga dilihat sebagai satu hala tuju yang baik yang dapat memberi manfaat kepada Sabah, serta melahirkan keupayaan kita membekalkan tenaga kuasa yang sedia ada dan jauh lebih murah.

“Sebagai contoh, Singapura hari ini menggunakan tenaga arang batu tetapi teknologi mereka gunakan cukup tinggi... kalau itu dapat kita teliti dan fokus, kita akan dapat laksanakannya sebaik yang mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai majlis pula, Shafie berharap kecemerlangan yang diperoleh pelatih Kolej Komuniti akan terus dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran sedia ada.

Katanya, usaha itu juga harus seiring dengan penggunaan teknologi baharu bagi membolehkan sumber tenaga manusia ini dapat meningkatkan keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita memerlukan tenaga buruh yang mahir, kreatif dan inovatif untuk membolehkan mereka menggunakan kemahiran bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri dalam perubahan dunia, sekali gus membangunkan industri sedia ada.

“Justeru, kordinasi penyelarasan untuk memahami keperluan pasaran dan industri bagi membangunkan negara penting untuk kita gembleng tenaga bersama,” katanya.

Terdahulu, seramai 679 graduan daripada lapan Kolej Komuniti seluruh daerah yang tamat latihan dari pelbagai bidang diraikan pada majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia Profesor Datuk Ts Dr Mohd  Ismail Abdul Aziz.

Advertisement