Anda di sini

Hampir 40 kontraktor Bumiputera Kelas F masih tunggu bayaran

Advertisement
MA'MUN menerima cenderamata daripada pihak penganjur yang diwakili Tukiman.
MA'MUN menerima cenderamata daripada pihak penganjur yang diwakili Tukiman.

TAWAU: Hampir 40 kontraktor bumiputera Kelas F di negeri ini yang sudah menyiapkan projek semasa era pentadbiran kerajaan terdahulu masih belum menerima tuntutan bayaran mereka.

Perkara itu didedahkan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) Malaysia sempena Program Seminar Pembangunan Kontraktor Bumiputera di sini pada Ahad.

Program terbabit dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dengan kerjasama Perkobf Sabah dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Menjawab soalan pemberita berhubung isu itu, Ma’mun berkata pihaknya mengambil perhatian hal terbabit dan akan membawanya kepada kementerian bertanggungjawab.

“Saya akan catat dan mengambil perhatian mengenai isu kontraktor bumiputera yang belum dibayar (walaupun projek sudah siap) serta cuba menyelesaikan hal berkaitan.

“Kita baharu sahaja melalui proses peralihan kuasa, jadi kita perlu menelitinya terlebih dahulu dan melihat punca kontraktor terlibat tidak dibayar,” katanya.

Mengulas cadangan memansuhkan konsesi di negeri ini pula, beliau berharap lebih banyak syarikat bumiputera mengambil bahagian dan tidak sekadar mengalibabakannya.

Misalnya, projek pembaikan jalan raya di seluruh Sabah, dikatakan dikawal oleh tiga syarikat besar, namun kini difahamkan ada tujuh syarikat yang akan diberikan kontrak.

“Kita mahu kontraktor bumiputera memantapkan ilmu dan kecekapan masing-masing dan kita amat berharap kontraktor bumiputera ada kepakaran menjalankan projek sendiri.

“Daripada kita hanya mengharapkan komisen untuk mendapatkan kontrak (tender projek), lebih baik kita melaksanakannya sendiri, malah boleh untung lebih besar lagi,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement