Anda di sini

CCCC harap Malaysia tidak ambil masa lama kaji semula ECRL

Advertisement

BEIJING: China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor bagi  Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 688-kilometer, berharap kerajaan Malaysia tidak mengambil masa lama bagi melakukan semakan semula projek tersebut.

Naib Presidennya, Sun Ziyu berkata ECRL merupakan projek yang amat terjejas sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran Malaysia dan menyifatkan nilai kontrak itu tinggi berikutan aspek penjajarannya yang sukar serta jarak landasan yang panjang dan perlu dilakukan menerusi terowong dan jambatan.

“Kita sedia maklum keperluan kerajaan baharu untuk meneliti semula projek mega itu tetapi mereka tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan,” katanya kepada sekumpulan media Malaysia yang diketuai oleh wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur, di ibu pejabat kumpulan CCCC di sini pada Sabtu.

Delegasi sembilan wartawan yang turut ditemani oleh seorang Atase Kedutaan China, mengunjungi tiga wilayah China iaitu Henzhen, Hangzhou dan Beijing pada 15-22 September.

Mengulas selanjutnya, Sun berkata CCCC telah memulakan kerja-kerja asas, menggali terowong, membina asas jalan, membeli peralatan dan bahan binaan jambatan, mengupah pekerja serta mewujudkan kerjasama dengan lebih 700 subkontraktor, pembekal serta perunding tempatan.

“Bagaimanapun, sejak penggantungan kerja-kerja tersebut, (kami) menanggung kerugian setiap hari. Sebagai kontraktor, ini hanya menjejaskan dan memberi kesan secara negatif kepada kami,” katanya.

Jelas Sun, walaupun CCCC sedia maklum mengenai keperluan kerajaan mengkaji semula projek-projek infrastruktur utama selepas peralihan kerajaan, namun tindakan penggantungan projek itu tidak boleh berlanjutan lama kerana ini tidak menguntungkan kedua-dua pihak.

Beliau turut memberi contoh pembangunan Projek Bandar Pelabuhan Colombo membabitkan pelaburan CCCC di Sri Lanka yang ditangguhkan selama setahun kerana perubahan politik, namun kini berjaya diteruskan dan berjalan lancar.

Sun menyifatkan projek ECRL itu sebagai projek perdagangan luar utama antara China dan Malaysia dan berasaskan idea Rangkaian Kereta Api Pan-Asia.

Di bawah inisiatif ‘Belt And Road,’ China dan Malaysia adalah rakan strategik yang turut menjadikan aspek komunikasi antara kedua-dua kerajaan sebagai amat penting.

“Memandangkan kami menandatangani kontrak itu dengan pemilik aset Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), maka perbincangan kami adalah dengan pemilik aset. Kami akan mengikut kontrak dan yakin isu itu dapat diselesaikan secara rundingan.

“Bagaimanapun, kami menanggung kerugian setiap hari selagi projek itu terus digantung. Oleh itu kami tidak mampu untuk melihatnya terus ditangguhkan dan membiarkan isu itu tanpa sebarang penyelesaian bagi tempoh yang terlalu lama,” katanya.

Sun berkata CCCC bagaimanapun percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan baik memandangkan ECRL merupakan projek prasarana utama yang akan menawarkan faedah jangka panjang kepada Malaysia.

“Kami  memahami  sepenuhnya kebimbangan kerajaan baharu mengenai krisis hutang yang ditanggung, tetapi sebagai syarikat awam kami juga bertanggungjawab kepada para pemegang saham kami,” katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada CCCC akan mempertimbangkan untuk menjadi rakan ekuiti dalam ECRL, Sun berkata: “Kami terbuka untuk perbincangan dan boleh mengamalkan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) dalam projek rel itu.”

CCCC juga, katanya, boleh membangunkan komuniti dan pembangunan tempatan dengan memberi  tumpuan kepada  pengangkutan awam dan menyifatkan ECRL dapat meningkatkan pembangunan Taman Perindustrian Kuantan serta hab perdagangan seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

Ini, sekali gus dapat memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan menyuntik momentum baharu kepada ekonomi tempatan.

Beliau memberi contoh kejayaan CCCC menukar peranannya daripada kontraktor kepada pengendali rel Projek Kereta Api Mombasa-Nairobi di Kenya, Afrika.

Ditanya mengenai pampasan terbabit sekiranya projek ECRL itu dibatalkan, Sun berkata setiap projek itu mempunyai ruang penambahbaikan dengan pilihan pembinaan mengikut fasa.

“Kami juga boleh menimbangkan sama ada memerlukan landasan berkembar, penyambungan landasan sehingga ke Thailand dan kemungkinan pembangunan fasa secara berperingkat. Kami boleh menyelesaikan sebarang masalah teknikal tetapi sudah pasti ini tidak akan mencatat sebarang kemajuan sekiranya projek ini dibatalkan,” katanya.

Menurut Sun, ditambah pula kontrak yang ditandatangani antara dua pihak adalah berdasarkan perjanjian dua hala dan prinsip adil serta saksama.

Justeru, CCCC masih optimis bahawa rundingan juga masih dijalankan.

“Namun, sekiranya projek itu dibatalkan, kami akan melindungi hak dan kepentingan mengikut undang-undang,” katanya.

Sun berkata unit CCCC iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd pada 4 Julai menerima notis untuk menggantung semua kerja-kerja di ECRL daripada MRL dan perbincangan  masih dijalankan bagi langkah berikutnya.

Menurutnya, pada masa ini CCCC mempunyai lebih 20 projek yang dijalankan di Malaysia.

Selain projek mega ECRL, usaha lain seperti kereta api antara Gemas dan Johor (Rel Selatan) juga berjalan lancar.

“Bagi projek MRT3  (Projek Laluan Ketiga Transit Aliran Massa), kami merupakan salah satu daripada dua pihak yang disenarai pendek. Sekarang projek itu dibatalkan dan tiada kontrak ditandatangani dan ini bermakna kami telah rugi dari segi (melakukan) reka bentuk awal dan kerja-kerja persediaan yang merupakan risiko komersial biasa.

“Sebagai subkontraktor projek LRT3  (Projek Transit Aliran Ringan 3), kami akan bekerja seperti yang diarahkan oleh pemilik aset dan kontraktor EPC (kejuruteraan, perolehan dan pembinaan). Sebarang perubahan juga tertakluk kepada perjanjian antara kontraktor EPC dan subkontraktor,” katanya. — Bernama

Advertisement