Anda di sini

Penyusuan susu ibu perlukan sistem sokongan

Advertisement
 Dr Teh (dua kiri) merasmikan Minggu Penyusuan Susu Ibu di bahagian Sibu di Klinik Kesihatan Sibu Jaya, baru-baru ini.
GALAKAN: Dr Teh (dua kiri) merasmikan Minggu Penyusuan Susu Ibu di bahagian Sibu di Klinik Kesihatan Sibu Jaya, baru-baru ini.

MINGGU Penyususuan Susu Ibu Sedunia (MPSI) merupakan acara tahunan yang disambut setiap minggu pertama bulan Ogos.

Walaupun menggunakan tema berlainan setiap tahun penganjurannya, namun sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu berkaitan susu ibu.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan bersama masyarakat setempat termasuk pertandingan mencipta poster di peringkat sekolah, pertandingan mencipta model payudara dalam kalangan staf serta pertandingan bilik dan sudut penyusuan susu ibu yang diadakan di semua klinik.

Ucapan motivasi dan sokongan untuk penyusuan susu ibu juga telah dikumpul daripada kalangan staf dan masyarakat setempat untuk membina ‘tree of support’.

Pada tahun ini sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu di bahagian Sibu diadakan di Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan bertemakan ‘Penyusuan Susu Ibu Asas Kehidupan’.

Pakar Perubatan Keluarga Dr Nadia Abdul Bari yang menguasa Klinik Kesihatan Sibu Jaya memberitahu, setiap bayi yang dilahirkan ke dunia ini  tidak berupaya melindungi dirinya daripada sebarang jenis penyakit.

Oleh itu, susu ibu amat diperlukan kerana sistem pertahanan bayi yang masih belum matang tidak berupaya untuk melawan penyakit.

Susu ibu katanya, mengandungi beberapa faktor antiinfeksi (melawan jangkitan) yang akan membantu menghindarkan bayi daripada pelbagai jenis jangkitan kuman yang optimum.

“Bayi yang dilahirkan sebagai insan yang tidak berdaya, memerlukan perhatian rapi ibunya untuk jangka masa yang panjang sebelum dia dapat berjalan.

“Susu ibu berubah mengikut perkembangan dan keperluan bayi dan kandungan susu ibu tidak akan dapat ditiru sepenuhnya oleh kecanggihan teknologi moden dalam makmal atau kilang,” katanya.

Dr Nadia berkata, penyusuan susu ibu memberikan pelbagai kebaikan kepada bayi dan ibu kerana khasiat susu ibu bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil, namun ia berkekalan sepanjang hayatnya.

Kebaikan ini jelasnya meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi dan juga pembentukan peribadi seseorang anak.  

Ia juga bertepatan dengan kajian yang menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu memberikan faedah yang banyak kepada ibu dan bayi sama ada dari segi fizikal mahupun psikologi.

Bagaimanapun, ujar beliau amalan penyusuan ibu di bahagian Sibu masih belum mencapai sasaran 60 peratus seperti yang ditetapkan kementerian.

Katanya, peratus penyusuan susu ibu di bahagian ini hanyalah 31.3 peratus untuk tempoh Januari hingga Jun 2018.

Walaupun peratusan ini masih rendah namun pencapaian itu masih boleh dibanggakan kerana terdapat peningkatan untuk setiap tahun.

Dr Nadia tidak menolak kemungkinan kekurangan pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu bapa masih tinggi.

Justeru beliau berharap ahli keluarga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan penyusuan susu ibu dan memberi sokongan kepada ibu agar terus menyusukan bayi mereka.

Katanya, sekiranya sistem sokongan ini tidak ada maka ibu akan mengambil jalan mudah dengan memberi susu formula kepada bayi.

Bercakap lanjut, Dr Nadia menjelaskan bahawa ahli keluarga terutamanya ayah atau suami perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan penyusuan ibu dan memberi sokongan serta dorongan kepada ibu untuk terus menyusukan bayi.

Selain itu, Klinik Rakan Bayi turut diwujudkan di mana para ibu diberi tunjuk ajar cara penyusuan serta pengetahuan yang berkaitan penyusuan agar mereka dapat melaksanakan amalan ini walau di mana mereka berada.

Setiap ibu yang berdaftar dengan klinik kerajaan akan diberikan pendidikan menggunakan modul yang telah ditetapkan.

Modul ini katanya, diberikan secara berperingkat semasa lawatan ibu ke klinik dari semasa ke semasa.

Tidak cukup dengan itu, Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu turut ditubuhkan untuk menyokong amalan ini.

“Kumpulan ini terdiri daripada anggota kesihatan serta ahli komuniti itu sendiri supaya kumpulan ini akan dekat lagi dengan masyarakat untuk terus mempromosikan serta membantu ibu-ibu dalam hal penyusuan susu ibu

“Di negeri Sarawak sahaja, kita mempunyai 60 kumpulan sokongan penyusuan susu ibu sama ada di peringkat hospital, klinik dan juga komuniti.

“Setelah hampir tiga tahun Klinik Rakan Bayi dijalankan sebanyak 86 klinik kesihatan di negeri Sarawak telah diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi dan ini termasuklah dua klinik kesihatan yang akan diiktiraf,” tambah beliau.

Katanya, beliau yakin usaha ini akan dapat diteruskan dan lebih banyak lagi klinik akan diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi dalam usaha membantu dalam meningkatkan amalan penyusuan susu ibu di negeri ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun menjelaskan bahawa tanggungjawab ini bukan sahaja terletak kepada Kementerian Kesihatan malahan  individu dan organisasi perlu memainkan peranan masing-masing.

Ujar beliau, sokongan orang sekeliling terutamanya insan yang paling dekat dengan ibu membantu menjadikan aktiviti penyusuan bayi menyeronokkan.

“Suami perlu memberi banyak sokongan kepada isteri termasuk menyediakan sajian berkhasiat untuk merangsang dan menguatkan badan supaya dia dapat menyusukan bayi.

“Tanpa sokongan padu daripada suami, sukar untuk isteri meneruskan usaha menyusukan anak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2018 di Klinik Kesihatan Sibu Jaya, baru-baru ini.

Menurut Dr Teh, susu ibu bukan saja makanan yang terbaik untuk bayi tetapi ia dapat membantu melindungi si kecil daripada risiko kegemukan, tahap kolesterol tinggi dan penyakit berjangkit.

Jelas beliau, kajian juga menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu berupaya mengekalkan tahap kesihatan kanak-kanak hingga dewasa.

“Malah anak juga didapati kurang mengalami masalah berat badan yang berlebihan.

Beberapa data mengesyorkan individu yang diberi susu ibu menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan minda,” katanya.

Tambahnya, penyusuan susu ibu seharusnya diterapkan sebagai langkah pertama ke arah usaha mengurangkan masalah kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak.

  • oleh
  • Advertisement