Anda di sini

Moga diberi kesembuhan

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 6 Julai 2018 ini menunjukkan Chong Wei beraksi pada suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta. BAM semalam mengesahkan Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal. — Gambar AFP
MOGA CEPAT SEMBUH: Gambar fail bertarikh 6 Julai 2018 ini menunjukkan Chong Wei beraksi pada suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta. BAM semalam mengesahkan Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal. — Gambar AFP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pada masa ini Chong Wei berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan sambil berehat untuk sembuh bersama keluarga dan kawan rapat.

“Berhubung laporan mengenai Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini, BAM mengesahkan pemain itu telah didiagnosis dengan barah hidung peringkat awal.

“Kami menggesa semua pihak agar menghormati privasi beliau dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan BAM itu sebagai respons kepada satu laporan yang tular menyatakan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali tersebut menghidap barah hidung tahap tiga.

“Bagi pihak Chong Wei, saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan keprihatinan kalian. BAM sentiasa berhubung dengan Chong Wei dan kami akan menyalurkan segala bantuan yang perlu kepada legenda kita itu,” kata Mohamad Norza.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kesihatan Chong Wei yang dilaporkan menghidap barah hidung.

Melalui catatan laman Twitter rasmi beliau, Dr Wan Azizah berkata: “Berduka mendengar perkhabaran Datuk Lee Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal. Chong Wei sedang menerima rawatan di Taiwan.

“Sama-sama kita mendoakan DLCW diberi kesembuhan sempurna,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut meminta semua pihak menghormati dan memberikan ruang kepada Chong Wei dan anggota keluarganya.

Syed Saddiq berkata, beliau mengikuti perkembangan kesihatan Chong Wei sejak awal sebelum pemain berusia 35 tahun itu ke Taiwan hingga sekarang.

“Atas kehendak Chong Wei sendiri juga, saya telah pun memaklumkan khabar kesihatan beliau kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan (isteri) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Kementerian Belia dan Sukan sentiasa bersedia memberikan sokongan sepenuhnya kepada beliau yang menjadi ikon dan wira rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong pula berkata, beliau akan menemui BAM untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan kepada Chong Wei dan keluarga ketika mendapatkan rawatan.

“Saya sedih mendengar tentang dugaan yang dihadapi juara badminton negara kita Datuk Lee Chong Wei.

“Namun saya yakin semangat juang beliau kental untuk menghadapi dugaan ini. Ayuh kita sama-sama doakan kesihatan LCW,” katanya.

Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan menyatakan Chong Wei tidak akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan utama disebabkan masalah kesihatan serta telah dinasihatkan agar berehat oleh doktor selepas menjalani rawatan berikutan masalah berkaitan respiratori.

Dua kejohanan utama berkenaan ialah Kejohanan Dunia BWF dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang masing-masing berlangsung bulan lepas. — Bernama

Advertisement