Anda di sini

LeBron berganding dengan pengarah ‘Black Panther’ untuk ‘Space Jam 2’

Advertisement
__alt__

DUA bulan lalu, bintang bola keranjang LeBron James menyertai pasukan Los Angeles Lakers. Sekarang, dia menyahut cabaran di Hollywood dengan cara yang besar.

Sekuel yang sudah lama dinanti-nantikan kepada ‘Space Jam’ - filem animasi-aksi hidup pada 1996 yang dibintangi beberapa legenda NBA, Michael Jordan, Larry Bird, Charles Barkley dan Patrick Ewing - akhirnya akan bergerak ke hadapan.

Syarikat penerbitan King James, SpringHill Entertainment, pada Rabu lepas mempamerkan di Twitter imej sebuah bilik persalinan yang memaparkan nama-nama James, pengarah ‘Black Panther’ Ryan Coogler sebagai penerbit dan ... Bugs Bunny sendiri sebagai ‘point guard’.

“Saya suka sekali dengan visinya” untuk ‘Black Panther’, kata James mengenai Coogler kepada The Hollywood Reporter.

Pembuat filem bebas Terence Nance - penerbit komedi aneh terbitan HBO ‘Random Acts of Flyness’ - dijangka akan mengarahkan filem itu untuk Warner Brothers.

Filem asal memaparkan watak Looney Tunes - Bugs, Daffy Duck dan rakan-rakan - yang merekrut Jordan untuk membantu mereka memenangi perlawanan bola keranjang menentang The Monsters, sebuah pasukan yang dianggotai penjahat makhluk asing animasi yang mencuri bakat ikon NBA lain.

‘Space Jam 2’ sudah sekian lama menjadi khabar angin, tetapi tweet pada Rabu lepas menjelaskan projek itu akan dijalankan.

Ini bukan kali pertama James, yang menandatangani kontrak bersama pasukan Lakers pada Julai lalu, melibatkan diri dalam dunia lakonan, tetapi ini adalah kali pertama dia memegang watak utama.

Dia pernah memegang watak sokongan yang diterima baik dalam filem arahan Amy Schumer ‘Trainwreck’ (2015) dan mempunyai peranan suara dalam filem cerita animasi terbitan Warner Brothers ‘Smallfoot’, yang akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 27 September ini.

Dia turut menerbitkan siri HBO ‘The Shop’, di mana nama besar dalam dunia sukan dan dunia hiburan bercakap mengenai isu-isu besar yang dihadapi Amerika dalam kedai gunting.

“Kerjasama Space Jam adalah jauh lebih bermakna daripada sekadar saya dan Looney Tunes yang bergabung untuk membuat filem ini,” kata James kepada The Hollywood Reporter.

“Ia jauh lebih besar. Saya ingin sekali melihat kanak-kanak memahami bagaimana mereka dapat rasa diperkasakan dan bagaimana mereka dapat diperkasakan jika mereka tidak berputus asa dalam usaha mereka mengejar impian mereka. Dan saya rasa Ryan melakukan itu bagi ramai orang.”

‘Space Jam’ mengutip lebih AS$230 juta di ‘box office’ seluruh dunia. ‘Black Panther’ pula mengaut lebih AS$1.3 bilion. — AFP

Advertisement