Anda di sini

Pembekal ayam ungguli Anugerah Agropreneur Agrobank 2018

Advertisement
 Jaffri (kanan) dan isteri, Mazlina menunjukkan trofi dan replika cek bernilai RM50,000 pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2018 di Hotel Pullman,  kelmarin. — Gambar Bernama
BERKAT: Jaffri (kanan) dan isteri, Mazlina menunjukkan trofi dan replika cek bernilai RM50,000 pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2018 di Hotel Pullman, kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Usahawan pembekal ayam segar dari syarikat Bismi Cergas Sdn Bhd, Jaffri Ahmad dan Mazlina Kamarudin kelmarin diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Agrobank (3A) 2018.

Pasangan suami isteri tersebut memulakan perniagaan pada 1994 secara kecil-kecilan dan seterusnya berkembang menjadi pembekal terbesar daging ayam di utara Malaysia.

Antara pelanggan korporat mereka ialah Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.

Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata anugerah yang diberikan adalah sebahagian daripada inisiatif  bagi mengiktiraf usahawan cemerlang di dalam perniagaan berasaskan pertanian.

“Kami percaya bahawa usahawan yang berjaya dapat memacu pertumbuhan dan kemakmuran serta memberi inspirasi bagi perubahan yang positif bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi juga kepada komuniti dan juga ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Selain penghargaan utama tersebut, Agrobank juga menyampaikan tujuh anugerah lain antaranya Anugerah Agropreneur Muda yang dimenangi Kamaruzzaman Abd Jalil pemilik Desa Selatan Beef Sdn Bhd dan Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya (OKU) yang dimenangi Zarida Zakaria, pemilik Sinar ZZ Enterprise.

Agrobank merupakan bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada 1969 dengan mandat untuk membangun dan memperkasakan sektor pertanian di Malaysia. — Bernama

Advertisement