Anda di sini

Manfaat sepenuhnya teknologi yang ditawarkan China

Advertisement
 Darell (tiga kiri) diiringi Abang Abdul Karim (dua kiri) dan Salang (kiri) semasa tiba untuk menghadiri Seminar Automasi dan IR 4.0 di Kuching, semalam.
TERUJA: Darell (tiga kiri) diiringi Abang Abdul Karim (dua kiri) dan Salang (kiri) semasa tiba untuk menghadiri Seminar Automasi dan IR 4.0 di Kuching, semalam.

KUCHING: Pemain industri pengilangan tempatan Sarawak perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang ditawarkan oleh China di negeri ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking berkata, terdapat industri pembuatan dari China yang menghasilkan teknologi telah lama bertapak di Sarawak.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka datang dan mengambil alih apa yang kita ada tanpa sebarang pemindahan teknologi.

“Maka itu, saya menggesa pemain industri untuk memanfaatkan sepenuhnya apa yang ditawarkan China di sini khasnya teknologi untuk kita melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Automasi dan IR 4.0 yang dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Industrial Development Finance (MIDF) Berhad Datuk Charon Mokhzani di sini, semalam.

Darell berkata, pemain industri dan masyarakat Sarawak amnya harus mencipta produk menggunakan teknologi sama ada mesin, jentera atau robotik.

“Kita mencadangkan kepada Sarawak mahupun Sabah untuk mencipta atau menghasilkan produk sedemikian sekurang-kurangnya asas kepada teknologi itu.

“Kami tahu bahawa pertanian, akualkultur serta pelancongan adalah milik anda (Sarawak) tetapi ada industri lain yang harus anda ceburi,” katanya.

Sementara itu mengenai MIDF, beliau menggesa badan itu untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri, kementerian berkaitan serta dewan perniagaan agar Sarawak tidak terlepas daripada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Dengan sedemikian katanya, Sarawak dan Sabah akan dapat mencapai tahap atau pembangunan yang sama seperti rakan di Semenanjung Malaysia.

Beliau berharap lebih banyak program akan dilaksanakan MIDF untuk Sarawak dan Sabah supaya ia memberi peluang kepada mereka dari segi kewangan agar tidak ketinggalan.

“Hasrat MIDF adalah untuk memastikan Sarawak dan Sabah tidak ketinggalan pada kali ini.

“Saya menggesa kepada MIDF supaya tidak hanya mengendalikan program mereka sendiri sahaja bahkan bekerjasama dengan kerajaan negeri, kementerian berkaitan serta dewan perniagaan di Sarawak,” katanya.

Hadir sama Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg.

  • oleh
  • Advertisement