Anda di sini

Kontraktor kena RM3,000 dan penjara 16 bulan kerana menipu

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor dikenakan denda RM3,000 dan 16 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menipu melibatkan urusan sewa beli rumah dan pekerjaan.

Jusli Sulaiman, 44, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Stephenie Sherron Abbie selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Rudy Ibnu, 37, dengan memperdayakannya untuk mempercayai tertuduh dapat mengurus urusan sewa beli rumah dan pekerjaaan.

Hal ini mendorong Rudy dan 34 mangsa yang lain untuk menyerahkan wang berjumlah RM47,100.00 kepadanya pada 12 November 2017 hingga 19 Februari tahun ini, di Taman Keramat Likas, di sini.

Mengikut keterangan kes, pengadu Zulkarnain Yunus, yang dikenalkan oleh rakan tertuduh bersama 26 mangsa lain, diarah menyerahkan RM1,500 setiap seorang bagi urusan mengurus sewa beli rumah.

Manakala, tujuh mangsa pula, dikehendaki menyerahkan wang tunai berjumlah sekitar RM1,800 hingga RM3,000 untuk setiap jawatan yang dipohon.

Setelah selesai membuat pembayaran, pengadu cuba menghubungi tertuduh untuk mengetahui proses urusan sewa beli dan pekerjaan, namun, tertuduh tidak dapat dihubungi.

Namun, pada 12 September tahun ini, jam 12.15 pagi, pihak polis berjaya mengesan dan memberkas tertuduh di sebuah bilik hotel di sini.

Untuk itu, tertuduh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara selama 16 bulan mulai tarikh tangkap dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar akan dikenakan penjara selama enam bulan.

Dalam mahkamah yang sama, tertuduh juga dikenakan hukuman penjara 16 bulan yang dijalankan serentak dengan hukuman pertama, serta tiga kali sebatan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Stephenie selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan dibawah seksyen yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Hafizan Armando dengan menperdayakannya percaya bahawa dia boleh mengurus sewa beli rumah dengan mendorong mangsa membayar wang pendahuluan RM1,200.

  • oleh
  • Advertisement