Anda di sini

Kerajaan pastikan Sabah cukup modal insan mahir

Advertisement
SHAFIE (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama para penerima bantuan.
SHAFIE (empat kanan) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama para penerima bantuan.

KOTA KINABALU: Pemberian bantuan sekali kepada pelajar-pelajar adalah langkah baharu kerajaan bagi memastikan Sabah mampu melahirkan insan yang mempunyai kemahiran tinggi pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bantuan yang diberikan itu adalah bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga kemahiran yang mencukupi untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

"Kemahiran dan ilmu pengetahuan penting bagi melahirkan insan yang diperlukan di negeri ini kerana boleh membantu dalam menarik pelabur ke sini yang memerlukan tenaga pekerja mahir.

"Hari ini kita menyerahkan bantuan kepada pelajar-pelajar, mereka yang menuntut di Sabah akan menerima RM1,000 dan luar negeri RM2,000.

"Selain biasiswa, bantuan ini turut diberikan kepada pegawai kerajaan untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis

Pelancaran Bantuan Pendidikan `One-Off' Yayasan Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah langkah utama diambil kerajaan dalam usaha memastikan masyarakat daif dan miskin di Sabah dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, hanya dengan kemahiran dan ilmu tinggi, sumber asli dalam negeri mampu diterokai sebaik-baiknya.

Dalam pada itu, Shafie turut menjelaskan cadangan mewujudkan Food Terminal Tawau sebagai persediaan menyediakan bekalan khususnya buah-buahan mencukupi untuk keperluan dalam dan luar negari.

Menurutnya, pasaran hari ini tidak hanya tertumpu dengan satu produk sahaja sebaliknya dengan keluasan tanah subur di Tawau, satu usaha pertanian menanam buah-buahan boleh dilaksanakan.

"Kita akan pilih buah yang mempunyai pasaran tinggi, kita pastikan kualiti dan mutunya baik agar mempunyai pasaran dalam dan luar negara yang baik.

"Impaknya besar kerana ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang Sabah," katanya.

Katanya, usaha mengenal pasti tanah bersesuaian di Tawau sedang dilakukan dan sudah meminta pihak berkaitan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau agar landasan dipanjangkan dan kawasan pengendalian kargo dipertingkatkan.

Hadir sama ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yacob dan Pengarah Yayasan Sabah Jamalul Kiram Mohd Zakaria.

  • oleh
  • Advertisement