Anda di sini

‘Ensera Paragon’ Masterpiece dijual secara digital

MASTERPIECE
MASTERPIECE

INDUSTRI muzik Iban kini mengorak langkah baharu apabila kumpulan rock popular Iban Masterpiece memperkenalkan penjualan album menerusi pasaran digital buat julung kalinya.

Dengan penjualan album secara digital itu maka tiada lagi penjualan menerusi VCD ataupun CD digunapakai.

Ini semua bagi mengelakkan masalah cetak rompak yang sukar dibendung sekali gus memberi kesan kepada pihak penerbitan menanggung kerugian.

Masterpiece merupakan artis pertama Iban di negeri ini yang menggunakan kaedah sedemikian haruslah dicontohi oleh syarikat-syarikat penerbitan lain pada masa akan datang bagi melakar revolusi di industri muzik Iban.

Vokalisnya, Depha Masterpiece ketika ditemui Utusan Borneo di Sibu berkata album baharu ‘Ensera Paragon’ merupakan album kelima mereka yang dikeluarkan secara digital pada 28 Ogos lalu.

“Album ini telah mula berada di pasaran digital/online penghujung Ogos lalu di bawah naungan Warner Music Malaysia.  

“Ia kini boleh dimuat turun sepenuhnya dengan cara membeli album ini secara online di platform digital dari aplikasi iTunes dan Amazon.

“Selain itu, ia juga boleh didengar menerusi online (Streaming) di aplikasi muzik popular seperti Spotify, KKbox, Deezer dan banyak lagi,” ujarnya.

Album ‘Ensera Paragon’ ini memuatkan sembilan buah lagu iaitu ‘Anang Irau’, ‘Bintang Jalai’, ‘Daliyah’, ‘Diva Enigma’, ‘Kaban’, ‘Carut Mentaliti’, ‘Perecha’, ‘Apokalis’ dan ‘Kunci Meligai Ati’.

Depha memberitahu, cara untuk memuat turun lagu tersebut sangat mudah kerana semuanya di hujung jari.

“Hanya layari laman web aplikasi seperti yang dinyatakan tadi dan taip ‘Ensera Paragon’,” jelasnya lagi.

Menurutnya, selama dua minggu berada di pasaran digital album tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segi muat turun dan juga ‘Streaming’ online daripada para peminat Masterpiece.

“Pada awal September hingga hari ini, lagu ‘Daliyah’ berada di tangga kedua di carta lagu KKbox untuk kategori lagu baharu Malaysia/Indonesia yang paling kerap diputarkan menerusi aplikasi KKBox,” katanya.

Menyentuh lanjut mengenai album baharu ini, beliau berkata, album ini sungguh istimewa bagi mereka kerana ia merupakan satu-satunya album yang dilamar dan bernaung di bawah label antarabangsa iaitu Warner Music Malaysia.

“Kami berasa bersyukur kerana hasil titik peluh selama kami berkecimpung di dalam arena muzik telah membuahkan hasil sehingga syarikat rakaman di luar Sarawak melihat pencapaian dan hasil kerja kami dalam industri muzik Dayak.

“Ini sesuatu yang tidak pernah kami jangkakan, apapun kami sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak Warner Music Music kerana telah memberi kepercayaan kepada kami dan album ‘Ensera Paragon’ ini.

“Kami juga berasa sangat selesa berurusan dengan pihak Warner Music Malaysia kerana mereka sangat profesional khususnya dari segi penjagaan kualiti muzik dan jadual penerbitan album yang tepat pada masanya,” tegasnya lanjut.

Bercakap mengenai pembikinan album, Depha berkata lagu-lagu dalam album ini mula dirakam pada tahun 2016 di Masterjam Studio di Sibu.

Ujarnya, kesemua lagu dalam album tersebut ditulis sepenuhnya oleh beliau sendiri dan susunan muziknya pula hasil kerjasama anggota kumpulan Masterpiece yang lain.

“Dalam ‘Ensera Paragon’ kami masih mengekalkan konsep dan genre rock seperti album-album sebelumnya tetapi lebih teknikal dan berat dari segi susunan dan bunyi untuk lagu-lagu yang berentak laju.

“Masterpiece masih menggunakan khidmat jurutera bunyi  profesional iaitu Iskandar Bujang di studio beliau iaitu I-Musik Shop di Sibu.

“Kami sudah bekerjasama dengan Iskandar sejak tahun 2014 untuk album ‘Ngap Sayot’ serta ‘Ngarapka Nuan Nikal Pulai’ dan kami berasa sangat selesa kerana beliau sentiasa terbuka untuk berbincang dan memahami kehendak bunyi setiap artis yang bekerja dengan beliau,” tambahnya lagi.

Selain itu, Depha menjelaskan bahawa album ‘Ensera Paragon’ ini juga turut dijayakan oleh dua anak muda tempatan iaitu Josephine Jurie dan Pierce Lee yang telah diundang untuk merakamkan vokal dan gitar dalam lagu ‘Diva Enigma’ dan ‘Carut Mentaliti’.

Pierce atau nama penuh beliau, Pierce Lee Wen Yian berusia 22 tahun merupakan seorang anak muda yang aktif dan sentiasa memuat naik video beliau bermain gitar di halaman facebook.

Manakala Josephine atau nama penuh beliau Josephine Jurie Kubu berusia 27 tahun yang kini merupakan seorang guru vokal di salah sebuah studio di Miri telah diundang oleh Depha untuk menyanyikan lagu ‘Diva Enigma’.   

“Kedua-dua mereka mempunyai tarikan serta gaya tersendiri dan oleh sebab itu kami sangat berminat menggunakan khidmat mereka berdua.

“Bagi Lee, kita amat tertarik dengan cara permainan dan sentuhan gitar yang ditunjukkannya sehingga kita mengundangnya untuk merakamkan solo gitar beliau bersama Willy Masterpiece untuk lagu ‘Carut Mentaliti’.

“Jurie pula semasa saya menulis lirik lagu ‘Diva Enigma’, saya hanya boleh membayangkan bahawa lagu ini sangat sesuai dinyanyikan oleh wanita dengan nada Soprano,” jelasnya lagi.

Menurut Depha, setelah diperkenalkan oleh seorang teman rapat, Masterpiece mengundang Josephine ke studio rakaman untuk mendengar vokal beliau.

Ternyata, karakter vokal Soprano Josephine, membuatkan beliau dipilih untuk menyanyikan lagu ‘Diva Enigma’.  

Josephine merakamkan lagu tersebut hanya dengan dua sesi rakaman sahaja.

Beliau yang mempunyai diploma dan ijazah dalam jurusan muzik pernah menjadi penyanyi latar untuk artis popular seperti Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin di Konsert Tropika Putrajaya.

Dia juga pernah menyertai Koir Soprano di Russian Centre Kuala Lumpur dan Koir Soprano di Malaysian Philharmonic Orchestra KLCC.

Dalam pada itu, Depha memberitahu album baharu ini telah menjadi medium antara Masterpiece dan juga peminat-peminat yang berada di luar negara kerana mereka boleh membeli dan mendengar kesemua lagu-lagu terbaharu Masterpiece menerusi aplikasi yang dinyatakan awal tadi.

Bercakap mengenai perancangan terdekat Masterpiece, Depha berkata, mereka tetap akan mencuba untuk menerbitkan album ‘Ensera Paragon’ dalam bentuk CD sahaja dan akan diedarkan di pasaran Sarawak.

“Kami berharap album ini akan terus mendapat sambutan daripada semua peminat-peminat Masterpiece.

“Akhir kata, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat, rakan-rakan, keluarga tercinta, stesen-stesen radio, rakan media dan semua yang terlibat dalam menjayakan album ini. Semoga anda terhibur dengan lagu-lagu baharu Masterpiece dari album ‘Ensera Paragon’,” katanya lagi.

Album baharu ini merupakan album kelima Masterpiece selepas album pertama mereka ‘Merindang Ke Bintang’ yang dikeluarkan pada tahun 2009 diikuti ‘Rock & Roll’ (2013), ‘Ngap Sayot’ (2014) dan ‘Ngarapka Nuan Nikal Pulai’ (2016).

Selain itu, Masterpiece turut terlibat dalam album kompilasi ‘Mansau Leka Padi’ yang dikeluarkan pada tahun 2011, ‘Berami Ba Ati Nuan’ (2014) dan ‘Nadai Ati Berami’ (2015).

Masterpiece adalah band pertama rock Iban yang mencipta revolusi pada suatu ketika dahulu menerima pembaharuan dalam konsep lagu mereka sehingga membuka mata peminat di Industri Muzik Dayak.

Justeru, untuk rekod Masterpiece banyak memenangi anugerah yang berprestij dalam industri muzik Iban yang terdiri daripada Anugerah Kumpulan Paling Popular pada Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2010, Anugerah Klip Video Terbaik (AMD 2010), Anugerah Album Terbaik (AMD 2010), Anugerah Kulit Album Terbaik (AMD 2010), Anugerah Artis Baru Terbaik (AMD 2010), Anugerah Lagu Terbaik menerusi Anugerah Juara Rentak Ruai (AJARR) Cat’s FM (2011), Anugerah Persembahan Terbaik pada Anugerah Carta Siapa Juara (ACSJ) WaiFM (2014), juara ACSJ WaiFM (2016), naib johan dan persembahan terbaik ACSJ WaiFM (2017) dan Anugerah Artis Rock Terbaik (AMD 2014).

Masterpiece dianggotai oleh tujuh orang anak watan Sibu yang terdiri daripada Depha yang bertindak sebagai vokalis, komposer dan penulis lirik, Willy (gitar utama/juruteknik perakam studio), Kent (gitar kedua/vokalis kedua), Marcus (Bass), Harold @ Iho (drums), Roslee Qadir (keyboardis) dan Valentine Jimmy (keyboardis).