Anda di sini

Dua maut tercampak keluar dari pacuan empat roda

Advertisement
KENDERAAN pacuan empat roda ini terbalik dua kali selepas terbabas dan terlanggar besi penghadang jalan di Batu 6 Jalan Apas Tawau.
KENDERAAN pacuan empat roda ini terbalik dua kali selepas terbabas dan terlanggar besi penghadang jalan di Batu 6 Jalan Apas Tawau.

TAWAU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan ikan segar terbabas sendiri di Batu 6 Jalan Apas di sini dan menyebabkan dua penumpangnya maut.

Kedua-dua mangsa yang maut dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan terbabit selepas kejadian panik berlaku susulan salah satu tayar hadapan pecah secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu melibatkan kenderaan yang dinaiki empat lelaki.

“Dua mangsa maut bekerja sebagai penjual ikan iaitu Mohd Firdaus Kadapi, 18, dan Nor Asri Amirullah, 19, yang berasal dari Kg Perigi Semporna,” katanya di sini pada Khamis.

Fadil berkata Firdaus mengalami kecederaan di kepala dan maut di lokasi kejadian, Nor Asri pula yang turut cedera di kepalanya dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Pemandu kenderaan, 34, yang juga seorang penjual ikan, cedera di tengkuk manakala, seorang lagi penumpang, 17, pembantu jurujual, pula luka di kepala dan lebam paha kiri.

“Siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku semasa kenderaan terbabit dalam perjalanan membawa tong berisi ikan dari Bandar Tawau menuju Pekan Semporna.

“Tayar hadapan kanan kenderaan itu bagaimanapun pecah secara tiba-tiba sebaik berada di lokasi kejadian, menyebabkannya terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata kejadian itu menyebabkan pemandu cuba mengawal pemanduan kenderaannya tetapi terlanggar besi penghadang jalan di pembahagi jalan.

Menurutnya, kenderaan itu kemudiannya tergolek dua kali di atas jalan sebelum terhenti menghala arah bertentangan, namun Firdaus dan Nor Asri tercampak ke luar dari kereta.

“Pemandu dan penumpang yang mengalami kecederaan masih ditahan di wad Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya, sambil mengesahkan siasatan masih diteruskan.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Trafik Insp Hamka Ab Rashid.

  • oleh
  • Advertisement