Anda di sini

Rompak: Lelaki asing kena 15 tahun

Advertisement
ALBANI (tengah) diiringi pegawai penjara keluar dari Mahkamah Sesyen selepas selesai prosiding.
ALBANI (tengah) diiringi pegawai penjara keluar dari Mahkamah Sesyen selepas selesai prosiding.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing yang melakukan rompak berkumpulan bersenjata, dikenakan penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Albani Sarail, 60, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, dia bersama empat orang yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan M16 dan pistol ke atas harta milik Chong Chi Kong, 55.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu, pada 25 Mei 2010, jam 1.00 hingga 3.00 pagi di perairan Pulau Pasir Putih, Kudat, di sini.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 397 kanun sama, penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, semasa Hajir Haris iaitu juragan Kapal Jerut KT 50/F bersama dengan 17 awak-awak berada di atas kapal, mereka didatangi lima perompak bersenjata lalu melepaskan tembakan sebanyak tiga kali di udara.

Tertuduh seterusnya mengarahkan Hajir menghubungi Chong untuk mendapatkan wang berjumlah RM150,000.

Kemudian, Chong menyediakan dan menyerahkan wang berkenaan dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM) dan Peso untuk diberikan kepada tertuduh.

Pada 17 Jun 2013, polis berjaya menangkap tertuduh di perkarangan IPD Kudat melalui pengecaman laporan kawad cam oleh Hajir.

Semasa rayuan, Albani memohon hukumannya diringankan dan hukuman dijalankan serentak dengan alasan sudah berusia dan memiliki 10 anak dan 27 cucu.

Namun, Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip dengan tegas menyatakan, tertuduh sebelum ini mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau mengikut seksyen yang sama.

Tegasnya, dalam kes terbabit senjata berbahaya digunakan yang mana satu perbuatan yang serius.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan tertuduh dikenakan penjara selama 15 tahun dan berjalan berasingan dengan hukuman kesalahan lampau.

  • oleh
  • Advertisement