Anda di sini

Hentikan spekulasi tragedi asam paya

Advertisement
JIMMY
JIMMY

MUKAH: Para netizen diminta bersikap sensitif terhadap keluarga serta rakan kepada dua pemungut asam paya yang ditemui mati dipercayai dipatuk ular ketika di kawasan hutan Kampung Bedanga pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mereka harus menghentikan dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

“Kita meminta orang awam jangan membuat banyak spekulasi tentang kejadian itu,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk terus mementingkan keselamatan diri ketika memasuki mana-mana kawasan hutan.

“Ini kerana kemungkinan terdapat binatang atau haiwan berbahaya seperti ular dan sebagainya yang tinggal di kawasan hutan,” jelasnya.

Jimmy juga memberitahu, kedua-dua mayat telah selesai dibedah siasat di Hospital Sibu dan diserahkan kepada keluarga masing-masing semalam.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya tidak mendapati sebarang unsur-unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Stanley Saka, 21, dan Duwat Jabu, 23, adalah mangsa yang meninggal dalam kejadian yang menggemparkan penduduk Mukah itu.

Manakala Lawrence Jinal, 40, terselamat dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut setelah dipatuk beberapa kali dipercayai oleh ular belalang atau lebih dikenali sebagai ular tedung.