Anda di sini

Dijerat kenalan maya

Advertisement
STANLEY
STANLEY

SIBU: Hobi melayari Facebook dan berkenalan dengan lelaki asing membawa padah kepada seorang suri rumah apabila keinginan yang melampau untuk mendapatkan kiriman hadiah akhirnya mengundang kerugian berjumlah RM2,500.

Selepas berkenalan selama seminggu, kenalan maya kononnya dari Amerika Syarikat itu berjanji untuk mengirimkan hadiah kepada pengadu yang berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengadu dimaklumkan suspek yang dikenali sebagai David mengenai pemberian hadiah sebagai tanda perkenalan mereka melalui aplikasi WhatsApp.

“Pada 10 September lalu, pengadu sekali lagi menerima pesanan WhatsApp daripada sebuah ejen kurier yang menyatakan barang pengadu sudah sampai tetapi melebihi muatan dan perlu membayar denda berjumlah RM5,100,” katanya.

Katanya, pengadu kemudian bersetuju untuk membayar denda selepas bayaran dikurangkan separuh.

“Tanpa curiga pengadu terus membuat pemindahan wang ke dalam sebuah akaun bank seperti diarahkan,” katanya.

Bagaimanapun, pengadu akhirnya tersedar dirinya ditipu apabila suspek sekali lagi meminta pengadu untuk menjelaskan baki RM2,600.

Stanley menambah, suspek memperdayakan pengadu untuk membuat bayaran denda bagi kiriman lebih muatan yang sebenarnya tidak wujud.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang guru wanita diperdayakan untuk ‘membayar’ kesalahan jenayah yang tidak wujud dengan kerugian mencecah RM6,500.

Pengadu, 36, menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari IPD Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada jam 9 pagi kelmarin.

Stanley berkata, pengadu diberitahu lelaki itu bahawa dia disyaki terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Selepas itu, panggilan pengadu disambungkan kepada seorang pegawai lain yang meminta pengadu untuk membuat pembayaran RM12,000 bagi tujuan ikat jamin kes itu,” katanya.

Katanya, pengadu memasukkan wang berjumlah RM6,500 ke dalam sebuah akaun bank seperti yang diarahkan.

“Sebaik sahaja pengadu menghantar salinan resit pemindahan wang itu, talian pengadu disekat serta-merta dan gagal disambungkan,” katanya.

Satu laporan polis telah dibuat pengadu berhubung kejadian itu.

“Suspek memperdayakan pengadu untuk membuat pembayaran atas kesalahan jenayah yang sememangnya tidak wujud.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas Stanley.

  • oleh
  • Advertisement