Anda di sini

Lakukan yang perlu perbetul hak Sabah, Sarawak

Advertisement
(dari kiri) Abdul Karim dan Michael Tiang
(dari kiri) Abdul Karim dan Michael Tiang

KUCHING: Kerajaan persekutuan diharap akan melakukan sesuatu yang perlu untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis selama 55 tahun dibetulkan sewajarnya.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu malam kelmarin (Ahad).

“Pengisytiharan Tun Dr Mahathir untuk mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak adalah perkhabaran yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negeri ini.

“Menerusi pengisytiharan jaminan ini, status ‘rakan sekutu’ pembentukan Malaysia bersama Semenanjung Malaysia dan Sabah, diharap Putrajaya akan membuat perancangan yang perlu untuk mengembalikan hak-hak kedua-dua negeri ini yang sudah terhakis selama 55 tahun,” ujarnya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata pengisytiharan Dr Mahathir itu sudah tentu akan mengukuhkan lagi rasa memiliki Malaysia oleh semua rakyat Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang mempersoalkan jaminan Dr Mahathir itu.

“Walaupun Dr Mahathir memberi jaminan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata di Malaysia dipuji, kenapa kerajaan persekutuan masih perlu memerlukan masa untuk mengkaji MA63 sebelum memulihkan kedudukan kedua-dua Borneo dalam Malaysia?

“Bukankah dengan jelas dinyatakan dalam MA63, Malaysia dibentuk oleh tiga rakan pengasas, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak?

“Malah perkara ini dengan jelas dinyatakan dalam Pemasyhuran Malaysia. Itu adalah kedudukan asal dipersetujui oleh pihak-pihak yang menandatangani MA63,” katanya.

Tiang menambah, MA63 telah dipinda di Parlimen pada 1976 tanpa mendapat persetujuan daripada Sabah dan Sarawak.

“Apabila saya mengatakan ‘persetujuan’ bermakna Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti meluluskan undang-undang untuk memberi persetujuan yang ada kesan.

“Ia sama seperti DUN Selangor memberi persetujuan kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan Kuala Lumpur wilayah persekutuan pada 1973 serta DUN Sabah mempersetujui Labuan sebagai wilayah persekutuan pada 1984,” katanya.

Justeru, Tiang menggesa kerajaan persekutuan tidak mengheret perkara itu lebih jauh dan lama tetapi dengan segera memperkenalkan usul meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Parlimen akan datang.

Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia sebagai ‘rakan sekutu’ katanya, adalah seperti suatu yang telah terukir pada batu, tidak boleh diragui serta dipersoalkan.

Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa kabinet seperti dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga seharusnya mengambil langkah meminta atau memansuhkan mana-mana undang-undang yang menghakis kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, antaranya Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Difahamkan jawatankuasa ini juga digesa mengkaji silibus subjek Sejarah di sekolah-sekolah kebangsaan negara yang mengajar banyak maklumat tidak betul mengenai pembentukan Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement