Anda di sini

Dr Mahathir jamin kembalikan status "rakan sekutu" kepada Sabah dan Sarawak

Advertisement
Juhar bersama Dr Mahathir, Shafie dan Uggah memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka malam ini. - Gambar Bernama
Juhar bersama Dr Mahathir, Shafie dan Uggah memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka malam tadi. - Gambar Bernama


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan melalui Malaysia Baharu akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa negara terbentuk 55 tahun lalu.

Katanya, status Sabah dan Sarawak, yang berubah daripada rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia, yang akan dikembalikan itu adalah sebahagian daripada proses dilaksana setelah kajian MA63 disiapkan.

“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).

“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah mundur dan kelengkapan yang amat daif.

“Kajian MA63 pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2018 di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2018 serta anggota kabinet Persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berharap apa sahaja penilaian semula dilakukan terhadap amalan-amalan di bawah MA63 perlulah dilakukan di dalam semangat setiakawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi.

Katanya, tanpa semangat dan sikap seperti itu kesatuan Malaysia sebagai satu negara dan bangsa akan terhakis selain keindahan yang dikecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang.

Katanya, bagi kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, ia pasti tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah dan Sarawak dan akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksana mengikut kehendak dan keperluan rakyat di negeri berkenaan.

“Di masa yang sama, saya yakin, hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat “reciprocity” atau timbal balik di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pastinya sedar ada di antara negeri-negeri di Semenanjung yang juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan berterusan dari kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau “encumberances”.

Beliau percaya keadaan itu  telah berjaya mengeratkan hubungan sesama penduduk Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakyat Malaysia.

“Keakraban yang terbina inilah yang telah membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat di antara pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini,” katanya.

-- Bernama 

Advertisement