Anda di sini

Bina menara antara empat agenda utama

Advertisement
BARISAN Imam Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru (duduk dari kiri) Imam Musa Abbas, Imam Rendra Ahmad dan Imam Hj. Mohd Izzat Haji Ismail bersama barisan Bilal.
BARISAN Imam Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru (duduk dari kiri) Imam Musa Abbas, Imam Rendra Ahmad dan Imam Hj. Mohd Izzat Haji Ismail bersama barisan Bilal.

Jawatankuasa Baharu Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru Sesi 2018-2020
 

KOTA KINABALU: Membina menara masjid, menarik jemaah ke masjid, mewujudkan kewangan yang sistematik dan perasmian masjid adalah empat agenda yang akan menjadi keutamaan Jawatankuasa Baharu Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru Sesi 2018-2020.

Pengerusinya yang baharu Rendra Ahmad berkata, dalam tempoh dua tahun, empat agenda yang menjadi keutamaan ini akan diusahakannya bersama barisan jawatankuasa yang ada untuk menjadikan Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru ini akan lebih sempurna, hidup dan tersusun dari segi perancangan dan pengurusan kewangan yang lebih sistematik.

"Dengan barisan jawatankuasa yang ada yang terdiri daripada muka lama dan baharu di samping pelantikan seorang tokoh pemimpin Kerajaan Warisan seperti  Awang Ahmad Sah Datuk Sahari yang juga Pengerusi Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah selaku Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar Tg. Aru, saya percaya agenda ini akan dapat direalisasikan dalam tempoh berkenaan..inshaAllah," katanya.

RENDRA (kanan) berbincang sesuatu bersama Awang Ahmad Sah Datuk Sahari, Pengerusi Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah selaku Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar Tg. Aru.
RENDRA (kanan) berbincang sesuatu bersama Awang Ahmad Sah Datuk Sahari, Pengerusi Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah selaku Penasihat Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar Tg. Aru.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Masjid Al-Kauthar Tg. Aru pada Sabtu bagi mengetahui halatuju dan perancangan beliau setelah dipilih menerajui Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar bagi sesi 2018-2020.

Pada majlis Pembubaran dan Pemilihan Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar bagi Sesi 2018-2020 pada 1 September 2018 lalu itu, Rendra menang tanpa bertanding untuk jawatan Pengerusi setalah pengerusi sebelum ini iaitu Haji Omarkhan Amirussin tidak mempertahankan jawatannya dan telah mencadangkan Rendra bertanding untuk jawatan itu.

Bagaimanapun Rendra telah menang tanpa bertanding untuk jawatan itu dan mendapat sokongan penuh oleh para jemaah dan penduduk kampung.

Dalam pada itu katanya, pelbagai usaha akan dilakukan untuk menarik lebih ramai masyarakat Islam Tanjung Aru dan sekitarnya untuk datang berjemaah ke Masjid Al-Kauthar pada setiap hari.

"Memandangkan sebelum ini kita melihat pada hari-hari biasa kehadiran masyarakat Islam berjemaah ke Masjid Al-Kauthar ini agak kurang dan memperlihatan suasana masjid ini agak suram.

SEBAHAGIAN barisan Jawatankuasa Muslimah Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru.
SEBAHAGIAN barisan Jawatankuasa Muslimah Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru.

"Sehubungan itu, kita juga telah menubuhkan Jawatankuasa Dakwah dan Tarbiah yang berfungsi untuk menarik penduduk Kg. Tanjung Aru dan sekitarnya atau ahli jemaah kariah kita untuk ramai datang ke masjid.

"Bagi golongan hawa, Jawatankuasa Muslimah juga telah ditubuhkan untuk mengembangkan dakwah kepada golongan ini," tegas Rendra.

Menurutnya, pelbagai program telah diadakan dan akan dirancang untuk tujuan itu antaranya; megadakan kuliah mingguan, kelas mengaji al-Quran dan Iqra untuk dewasa dan kanak-kanak muslimin dan muslimah dan menganjurkan program kemasyarakatan seperti gotong royong dan pelbagai perancangan lain yang akan dilaksanakan kelak.

Berhubung kait dengan usaha ini juga, usahasama melalui Sukarelawan Al-Falah Yadim yang telah diwujudkan di masjid ini sekitar 2016 juga akan diteruskan.

"Menerusi badan Sukarelawan Al-Falah ini, pelbagai program turut diadakan bagi mengimarahkan lagi Masjid Al-Kauthar antaranya aktiviti dakwah, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong dan segala yang berkaitan dengan anjuran bersama," jelasnya.

Dari segi kewangan masjid menurut Rendra, pihaknya juga akan turut menjurus ke arah kewangan yang lebih sistematik.

"Kita akan perbaiki sistem kewangan masjid yang kita warisi daripada pentadbiran kewangan sebelum ini di mana kita akan menyelesaikan segala bil-bil dan hutang-hutang yang tertunggak sebelum ini.

"InshaAllah kita akan mencuba dalam tempoh selepas dua tahun ini di mana kita akan adakan simpanan agar dapat dimanfaatkan oleh jawatankuasa akan datang," katanya.

Menurut Rendra, dalam tempoh dua tahun ini pihaknya juga mensasarkan untuk membina menara Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru.

"Pembinaan menara mesjid ini juga dalam perancangan utama dan dalam perhatian Jawatankuasa Pembangunan Hal Ehwal Masjid di bawah seliaan Tuan Haji Ismail Palil.

"Di mana dalam masa terdekat perkara ini akan dibawa ke mesyuarat bersama Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Haji Moktar untuk perbincangan dan pelaksanaannya," katanya.

Tambahnya lagi, perkara ini juga turut mendapat perhatian beberapa orang pemimpin kawasan ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas Uda Sulai yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri.

Dibina sekitar tahun 2013, Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru menerima peruntukan sejumlah kira-kira RM5 juta daripada kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) menerusi mantan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 25 April 2015 masjid ini telah dibuka untuk kemudahan masyarakat Islam di kawasan Tanjung Aru dan kawasan sekitarnya.

BARISAN Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru Sesi 2018-2020.
BARISAN Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru Sesi 2018-2020.

"InshaAllah, dalam tempoh dua tahun di bawah pengurusan Jawatankuasa Masjid Al-Kauthar yang baharu ini kita akan berusaha untuk mengadakan dan membina menara masjid ini," katanya.

Katanya, majlis perasmian Masjid Al-Kauthar ini juga akan dirancang diadakan selepas sahaja menara masjid ini sudah siap dibina sepenuhnya.

  • oleh
  • Advertisement