Anda di sini

Gunakan saluran yang betul: Azis

Advertisement
AZIS JAMMAN
AZIS JAMMAN

KOTA KINABALU: Guna saluran yang betul dalam menyuarakan kebimbangan berhubung isu-isu di Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata, tindakan menangkap lapan individu dipercayai aktivis ketika membuat himpunan adalah disebabkan penggunaan saluran yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, antara yang ditahan termasuklah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Mohd Khairudin Daud yang sepatutnya lebih tahu cara yang lebih wajar dibuat berbanding menjalankan himpunan tanpa izin.

Katanya, sebagai sebuah parti yang mesra kerajaan, pihak berkenaan seharusnya tahu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan keluhan.

"Tulis kepada kami dan kami akan bantu memudahkannya dengan membuat perbincangan meja bulat kerana itulah cara yang sepatutnya dibuat.

"Kumpulan ini perlu buang mentaliti pembangkang dalam membuat himpunan dan protes jalanan," katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, seramai lapan individu daripada 100 peserta yang menyertai Himpunan Hari Malaysia Pandang ke Sabah ditahan polis semasa membuat protes jalanan di sini pada pagi Ahad.

Aktivitis yang ditahan turut mendakwa dipukul anggota polis hingga mengalami beberapa kecederaan.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menafikan anggota polis bertindak ganas semasa menahan kumpulan aktivis terbabit.

Katanya, kumpulan terbabit enggan untuk bersurai walaupun sudah diberitahu supaya menghentikan himpunan berkenaan.

"Saya tidak berada di tempat kejadian tetapi dari apa yang saya dimaklumkan, kumpulan terbabit tidak mahu bersurai walaupun sudah dinasihatkan berulang kali.

"Mereka berarak dengan membawa kain rentang dan sepanduk. Mengikut undang-undang tindakan sedemikian adalah satu protes dan mereka juga tidak mempunyai permit," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, Ketua Polis Daerah turut memaklumkan tindakan kumpulan berkenaan mengundang perhatian ramai dan ia perlu dihentikan.

Ketika ditanya tentang dakwaan tindakan ganas anggota polis ketika meleraikan himpunan itu, beliau menjelaskan, anggotanya cuba untuk menghentikan himpunan itu tetapi peserta yang terlibat tidak mendengar arahan polis.

Advertisement