Anda di sini

Sambutan Hari Malaysia 2018 pupuk semangat patriotik peserta

Advertisement
PETER (depan, tengah) dan Shafie (belakang, tengah) dikerumuni penari-penari cilik semasa sesi bergambar.
PETER (depan, tengah) dan Shafie (belakang, tengah) dikerumuni penari-penari cilik semasa sesi bergambar.

KOTA KINABALU: Penglibatan golongan muda pada Sambutan Hari Malaysia 2018 dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan mereka.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata penglibatan mereka secara tidak langsung juga dapat memberi pemahaman sejarah kepada generasi muda.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana pada usia yang muda, peserta-peserta persembahan ini sanggup berkorban masa dan tenaga membuat latihan persediaan semata-mata untuk meraikan Sambutan Hari Malaysia dan juga untuk menyambut kepimpinan tertinggi negara.

“Sebagai pengisian program, kita juga akan papar beberapa simbolik majlis iaitu tandatangan pembentukan Malaysia dan merupakan sejarah yang perlu dilakar bukan hanya dalam pemikiran tetapi hati dan jiwa setiap rakyat Malaysia.

“Sambutan ini juga sebagai meraikan Hari Kemerdekaan negeri Sabah dan Sarawak yang cukup bererti bagi rakyat Malaysia di negeri ini kerana sambutan tersebut merupakan perayaan yang cukup penting kepada generasi khususnya anak-anak muda,” katanya kepada media selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, di sini pada Jumaat malam.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Induk Sambutan Datuk Peter Anthony berkata persediaan dalam melaksanakan majlis berada pada tahap yang tinggi.

“Pada keseluruhannya, kita telah bersedia dari segi jemputan, pelaksanaan majlis dan kehadiran yang begitu ramai daripada peringkat persekutuan seperti Perdana Menteri, Menteri-menteri Persekutuan juga akan turut hadir dan ini menjadi satu sejarah kepada kerajaan baharu bagi Sabah.

“Dari segi keselamatan, saya difahamkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat persediaan yang rapi dan saya percaya mereka telah membuat persiapan yang sewajarnya dan memastikan tiada insiden-insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

SHAFIE memberikan kata-kata semangat dan penghargaan kepada peserta-peserta persembahan.
SHAFIE memberikan kata-kata semangat dan penghargaan kepada peserta-peserta persembahan.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah turut memaklumkan pihak penganjur turut menyediakan pengangkutan bas henti (shuttle bus) di tiga lokasi itu iaitu Masjid Negeri Sabah-Padang Merdeka, KK Central-Padang Merdeka dan Stadium Likas-Padang Merdeka.

Turut hadir semasa raptai berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.-Penerangan.

Advertisement