Anda di sini

Bersatu majukan negara: Shafie

Advertisement
SHAFIE.
SHAFIE.

KOTA KINABALU: Rakyat, khususnya di Sabah, harus bersatu membawa negara ke mercu kejayaan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Katanya, rakyat berupaya berbuat demikian setelah bebas dari belenggu penjajahan asing sejak sekian lama.

“Ini bermakna tanggungjawab untuk menentukan arah tuju masa hadapan negara adalah di tangan kita sendiri.

“Apabila kita mencapai pemerintahan sendiri, kita bebas untuk membuat keputusan sendiri, bebas untuk membina negara mengikut acuan sendiri dan bebas untuk memilih kerajaan baharu secara aman,” katanya dalam perutusannnya di sini sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Mohd Shafie berkata sambutan Hari Malaysia tahun ini mempunyai keistimewaan tersendiri di mana sambutannya dijayaka di bawah kerajaan baharu.

“Marilah bersama-sama pimpinan kerajaan baharu, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri, membawa sinar perubahan yang diimpikan oleh kita semua, bagi menerangi masa depan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Mohd Shafie turut menasihatkan rakyat di Sabah supaya tidak terpengaruh dengan sesetengah pihak yang giat mempertikaikan tarikh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, walaupun umum sedia maklum Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept 1963.

“Janganlah kita terlalu terpengaruh dengan emosi sehingga kita terlupa apa yang lebih penting adalah untuk menyelami makna kemerdekaan dan menterjemahkannya kepada tindakan dan perbuatan kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara,” katanya.

Mohd Shafie berkata kejayaan negara bergantung kepada perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan kerana jika isu perkauman dibiarkan akan menyebabkan negara berpecah dan menghalang usaha negara mencapai kemajuan dan kegemilangan.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat atas pemilihan Sabah sebagai tuan rumah meraikan sambutan Hari Malaysia esok.

Katanya, dalam meraikan sambutan Hari Malaysia itu, beliau mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk memperkasakan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat yang merupakan faktor penting mencapai kemajuan tamadun sebuah negara bangsa.

“Sesungguhnya, hubungan antara Kota Kinabalu dan Putrajaya harus utuh dan padu demi kemajuan Malaysia sejati. Laut China Selatan tidak harus jadi pemisah, sebaliknya menjadi penyatu bagi sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat.

“Oleh yang demikian, kerajaan Sabah akan terus berunding dan berbincang dengan kerajaan pusat untuk memperhebatkan lagi agenda pembangunan negeri ini, selain memastikan segala hak dan kepentingan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dijunjung bersama,” katanya.

Mohd Shafie juga menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk melonjakkan pembangunan dan ekonomi Sabah dengan tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan fiskal.-Bernama.

Advertisement