Anda di sini

Tipu: Lelaki mengaku tidak bersalah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas empat pertuduhan terhadapnya iaitu melakukan penipuan melibatkan pengurusan pakej pendakian Gunung Kinabalu.

Razif Ating, 35, yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Pertuduhan pertama, pada 15 Ogos dan 28 Oktober, tertuduh didakwa menipu seorang wanita dengan meminta mangsa membayar RM1,500 untuk pengurusan perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 26 September untuk pengurusan kes terbabit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan cagaran dua penjamin tempatan dan perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali.

Peguamnya Farah Saira Abdul Razak memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan dan menyara isterinya yang tidak bekerja.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Inspektor Nur Hidayah Mahzan.

Dalam mahkamah berasingan, tiga lagi pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang melibatkan kes sama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah ejen yang dapat menguruskan perkhidmatan pendakian.

Hal ini mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM900 kepada tertuduh yang berlaku pada 19 Oktober, di kawasan Likas, di sini.

Dia juga melakukan kesalahan sama kepada seorang wanita pada 29 Mei tahun lepas di sebuah premis di Api- Api, di sini sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM2,200.

Selain itu, tertuduh didakwa menipu mangsa lain iaitu seorang wanita yang mana kejadian berlaku pada 23 November, jam 9.30 petang di Ibu Pejabat Polis, di sini.

Mangsa kemudiannya menyerahkan wang berjumlah RM600 melalui deposit wang ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Bagaimanapun, Razif mengaku tidak bersalah atas ketiga- tiga tuduhan dan mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 deposit RM2,000 dengan cagaran dua penjamin tempatan dan perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Albert Basirin, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pada 7 September lalu, tertuduh juga didakwa menipu wanita lain berusia 28 tahun dengan memperdayakan mangsa menyerahkan wang lebih RM600 untuk perkhidmatan pendakian.
 

  • oleh
  • Advertisement