Anda di sini

Suspek edar dadah cuba melarikan diri berjaya ditangkap

Advertisement
MERBIN
MERBIN

KUCHING: Tindakan pantas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki disyaki pengedar dadah melarikan diri dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Tematu Hill, Jalan Stephen Yong di sini Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata, suspek terbabit bertindak melarikan diri melalui pintu belakang selepas dilihat membaling bungkusan berwarna hitam keluar dari rumah tersebut.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan siasatan lanjut berjaya menemui satu bungkusan berwarna hitam yang didapati mengandungi 12 peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Dianggarkan kesemua rampasan dadah seberat kira-kira 296.68 gram itu bernilai mencecah RM45,000,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah seorang wanita yang merupakan adik suspek terbabit.

“Siasatan lanjut mendapati suspek wanita terbabit pernah ditahan polis sebelum ini di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kita masih menyiasat untuk mengetahui sejauh mana penglibatannya dalam kegiatan (mengedar dadah) ini,” kata Merbin.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM10,000 serta wang tunai berjumlah RM5,294.

“Kedua-dua suspek kini masih ditahan di lokap polis dan akan direman selama tujuh hari bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Advertisement