Anda di sini

SMK Tun Abang Haji Openg cipta replika Jalur Gemilang gergasi guna dulang telur terpakai

Advertisement
 Pelajar SMK Tun Abang Haji Openg menyusun kepingan dulang telur terpakai bagi membentuk Jalur Gemilang gergasi. — Gambar Chimon Upon
GIGIH: Pelajar SMK Tun Abang Haji Openg menyusun kepingan dulang telur terpakai bagi membentuk Jalur Gemilang gergasi. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg mencipta sejarah apabila berjaya membina replika Jalur Gemilang gergasi menggunakan kepingan dulang telur terpakai.

Replika Jalur Gemilang gergasi bersaiz 140 kaki panjang dan 70 kaki lebar ini berjaya dibina mengunakan sebanyak 9,800 keping dulang telur terpakai dan mengambil masa seminggu untuk disiapkan bermula dari proses mewarna hingga penyusunan semalam.

Pengetuanya Affida Helmi berkata, selain meraikan Hari Malaysia, usaha membina Jalur Gemilang gergasi itu bertujuan menerapkan nilai-nilai murni seperti cintakan tanah air, berdisiplin dan bekerjasama dalam kalangan pelajar.

Berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelumnya yang lebih kepada program berbentuk perhimpunan, tahun ini pihak sekolah mencuba sesuatu yang luar dari kebiasaan iaitu dengan membina

 Affida (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama warga SMK Tun Abang Haji Openg selepas berjaya membentuk Jalur Gemilang gergasi menggunakan 9,800 keping dulang telur terpakai. — Gambar Chimon Upon
BANGGA: Affida (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama warga SMK Tun Abang Haji Openg selepas berjaya membentuk Jalur Gemilang gergasi menggunakan 9,800 keping dulang telur terpakai. — Gambar Chimon Upon

Jalur Gemilang gergasi daripada dulang telur terpakai, jelasnya.

“Menariknya inisiatif ini bukan sahaja melibatkan semua pelajar, guru serta kakitangan yang lain malah turut menarik penglibatan bekas pelajar menerusi sumbangan dulang telur terpakai.

“Kita berharap program ini bukan sahaja dapat memupuk semangat cintakan tanah air, perpaduan dan kerjasama antara para pelajar malah dapat meningkat imej sekolah ini,” katanya yang ditemui pada program itu semalam.

Sementara itu, kerja-kerja membina Jalur Gemilang gergasi itu semalam berjaya disiapkan dalam masa satu jam 25 minit di Tapak Perpaduan sekolah tersebut melibatkan seramai 116 pelajar.

Selain Jalur Gemilang gergasi, beberapa guru dan kakitangan sekolah yang bakal bersara turut terlibat dalam menyusun 496 keping dulang telur terpakai membentuk nama sekolah sebagai pengiktirafan kepada mereka.

Pembinaan replika Jalur Gemilang gergasi itu dikelolakan oleh Kelab Kewarganegaraan dengan kerjasama Kelab Sejarah, Kelab Keceriaan dan Unit Bimbingan Kaunseling sekolah tersebut.

Advertisement