Anda di sini

SK Tempasuk 1, Miri Academy FC ungguli Bola Sepak Jemputan MSL 2018

Advertisement
PEMAIN SK Tempasuk 1 dari Kota Belud bersama jurulatih dan guru meraikan kejayaan menjuarai Pertandingan Bola Sepak Jemputan Majlis Sukan Labuan Bawah 11 Tahun di Kompleks Sukan Labuan, Ahad lalu.
PEMAIN SK Tempasuk 1 dari Kota Belud bersama jurulatih dan guru meraikan kejayaan menjuarai Pertandingan Bola Sepak Jemputan Majlis Sukan Labuan Bawah 11 Tahun di Kompleks Sukan Labuan, Ahad lalu.

LABUAN: Sekolah Kebangsaan Tempasuk 1 dari Kota Belud muncul johan Pertandingan Bola Sepak Jemputan Majlis Sukan Labuan (MSL) kategori Bawah 11 Tahun selepas membelasah SK Tanjung Aru dari Wilayah Persekutuan Labuan dengan jaringan 9-1 di perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Kompleks Sukan Labuan, Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, SK Tempasuk 1 membawa pulang piala MSL, piala iringan, medal dan jersi.

Pasukan dari Kota Belud itu juga turut mendominasi anugerah pertandingan apabila membolot empat daripada lima anugerah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Empat anugerah itu ialah Anugerah Pemain Terbaik yang menjadi milik Jojo Lamsin, Muhammad Fitri Mad Salleh (Pertahanan Terbaik), Adriano Carlos Peter (Penyerang

Tengah Terbaik) manakala Hariq Awin Sarudin meraih Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

Tempat ketiga bersama masing-masing dimenangi oleh pasukan Akademi Tunas U11 (Labuan) dan pasukan TABB dari Kota Kinabalu.

Pasukan Bambu JR dari Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menyekat dominasi SK Tempasuk apabila memenangi Anugerah Pasukan Terbaik.

Sementara itu, pasukan Miri Academy FC dari Miri Sarawak muncul juara kategori Bawah 16 Tahun, selepas mengecewakan Victoria Institute FC (VIFC) dari Kuala Lumpur dengan kemenangan tipis 1-0.

Pasukan Sekolah Sukan Negeri-Pusat Latihan Daerah Labuan (SSN-PLD) dan Team Academy Beaufort FC dari Beaufort menduduki tempat ketiga bersama.

Pemain dari Team Academy Beaufort, Md Isra Yusof muncul Pemain Terbaik Bawah 16 Tahun, manakala Mohd Aidil Faris yang mewakili Victoria Institute FC Kuala Lumpur meraih Anugerah Pertahanan Terbaik.

Sementara itu, anugerah Penjaga Gol Terbaik Bawah 16 Tahun disandang pemain Team Miri Academy FC, Vincent Siger manakala anugerah Penyerang Tengah Terbaik pula dibawa pulang Mohd Hakimi Akhmal dari pasukan VIFC, Kuala Lumpur.

SMK Pantai Academy FC tidak mengecewakan tuan rumah apabila memenangi anugerah Pasukan Terbaik.

TEAM Academy Miri muncul juara Bawah 16 Tahun Pertandingan Bola Sepak Jemputan Majlis Sukan Labuan.
TEAM Academy Miri muncul juara Bawah 16 Tahun Pertandingan Bola Sepak Jemputan Majlis Sukan Labuan.

Pertandingan yang diadakan sempena Bulan Kebangsaan Ke-61 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan itu dianjurkan MSL dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) dan Perbadanan Labuan telah disertai 20 pasukan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Semenanjung Malaysia.

Majlis perasmian dan sepak mula disempurnakan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang juga Pengerusi MSL.

Manakala majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Hazan Dahari.

Turut hadir Presiden LAFA yang juga Pengerusi Penganjur, SK Tan dan bekas penyerang sensasi negara, Datuk Hassan Sani.

Advertisement