Anda di sini

Sektor hospitaliti malaysia catat pertumbuhan kukuh

Advertisement

LANGKAWI: Malaysia menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam industri perhotelan dengan pelancaran 130 hotel yang menawarkan 26,000 bilik dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Mohamaddin Ketapi berkata, jenama Double Tree, Hilton, Marriott, Anantara, Westin, Mercure, Sheraton, St. Regis, Four Seasons dan Hyatt merupakan antara jenama hotel terkenal di dunia yang akan memperluaskan pelaburan mereka di Malaysia.

“Kita menyaksikan industri semakin cergas dengan pembukaan hotel terkenal. Malah, sektor hotel tumbuh 8.5 peratus dengan pembukaan 250 hotel baharu pada 2017,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Travel Mart Persatuan Pelancongan Asia Pasifik 2018 di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan juga dijangka menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk terbang ke Malaysia melalui pengenalan insentif khas.

“Melalui insentif ini kita telah berjaya menarik Condor Air dari Jerman untuk memulakan laluan Frankfurt-Kuala Lumpur mulai November,” tambah Mohamaddin. — Bernama

Advertisement