Anda di sini

Sarawak terus komited tangani isu rasuah: Awang Tengah

Advertisement

LAWAS: Sarawak terus komited untuk menangani isu rasuah daripada berleluasa di negeri melalui penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rasuah merupakan isu integriti yang perlu ditangani secara berterusan.

Beliau berkata, Sarawak merupakan negeri pertama yang berikrar menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti melibatkan semua ahli kabinet negeri, para pemimpin diikuti kementerian dan jabatan yang dijalankan pada pentadbiran Tok Nan.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau meneruskan ikrar integriti dalam kalangan semua ahli kabinet negeri Sarawak,” katanya pada Program Integriti Pemimpin Bersama Masyarakat Siri 6/ 2018 di sini, semalam.

Turut sama ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Pengarah Integriti dan Ombudsman Adana Jed, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari Lawas Kaunselor Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Ali Kedua serta Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata, Unit Integriti dan Ombudsman ditubuhkan pada Mei 2017 dan walaupun masih baharu, banyak program dijalankan untuk membendung rasuah melibatkan penyertaan agensi kerajaan, ketua masyarakat dan pelajar.

“Rasuah satu-satunya isu integriti yang menyumbang kepada salah guna kuasa, dan penyelewengan yang menghalang pembangunan negara, meluaskan jurang kemiskinan dan mengurangkan daya saing negara,” ujarnya.

Integriti tekannya, perlu menjadi pegangan kukuh setiap daripada kita.

“Integriti bukan saja menjadi amalan dan ‘pakaian’ kita secara peribadi, tetapi perlu diamalkan setiap individu dalam organisasi, kampung, rumah panjang mahupun di rumah,” ujarnya.

Beliau menambah, kualiti dan kecekapan perkhidmatan awam menampakkan perubahan dan semakin meningkat.

“Banyak jabatan dan agensi kerajaan melaksana usaha penambahbaikan khususnya terhadap sistem penyampaian perkhidmatan agensi masing-masing.

“Tindakan sebegini dapat membantu mengurangkan kerenah birokrasi semasa orang ramai berurusan dengan jabatan berkenaan,” tegasnya.

Awang Tengah berkata lagi, tindakan dan sikap negatif segelintir penjawat awam semasa menjalankan tugas memburukkan imej keseluruhan perkhidmatan awam di negara ini.

“Orang ramai berhak membuat teguran dan kritikan kepada perkhidmatan yang diterima daripada penjawat awam,” katanya.

 Tambahnya lagi, integriti salah satu tunjang dan nilai universal dalam ajaran agama.

“Integriti tunjang dalam amalan budaya dan adat resam kita yang kita amalkan sejak dulu lagi.

“Kita diajar untuk bersikap jujur dan amanah dalam menjalankan tugas dan perkhidmatan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai program itu, ia diadakan bertujuan membentuk dan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan pegawai kerajaan, ketua masyarakat dan lapisan masyarakat.

Pada masa sama katanya, ia mampu menjamin keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan sekali gus mencapai kesejahteraapn rakyat.

  • oleh
  • Advertisement