Anda di sini

Sabah lawan Pahang di suku akhir esok

ANTARA aksi Sabah (jersi merah) menentang Pulau Pinang pada perlawanan terakhir Kumpulan C.
ANTARA aksi Sabah (jersi merah) menentang Pulau Pinang pada perlawanan terakhir Kumpulan C.

KOTA KINABALU: Sabah diikat keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang tetapi memadai untuk muncul juara Kumpulan C dan meneruskan langkah menentang Pahang pada suku akhir acara bola sepak Sukma XIX Perak di Stadium TLDM, Lumut, petang esok (Sabtu/4.15 petang).

Semua perlawanan Kumpulan C berkesudahan seri untuk ketiga-tiga pasukan mengutip dua mata tetapi dijarakkan oleh perbezaan jaringan yang berpihak kepada Sabah dan Melaka mewakili kumpulan itu ke suku akhir.

Sabah juga seri 2-2 dengan Melaka pada perlawanan pertama manakala pertemuan Pulau Pinang dan Melaka berkesudahan seri tanpa jaringan.

"Kita belum menikmati kemenangan. Harap-harap kita berhasil (menang) pada suku akhir kerana itu sahaja pilihan yang ada untuk meneruskan cabaran.

"Saya telah melihat kesungguhan pemain dalam saingan peringkat kumpulan, keadaan yang saya harap akan berterusan pada perlawanan suku akhir.

"Saya percaya kita di landasan yang betul dalam pemburuan pingat emas tetapi sekarang ini, fokus kita sepenuhnya kepada perlawanan menentang Pahang dahulu," kata pengurus pasukan, Benedict Asmat ketika dihubungi di Perak hari ini.

Beliau berkata, pertukaran venue dari padang sintetik pada saingan peringkat kumpulan ke padang biasa petang ini juga diharap akan membantu pasukan memberikan persembahan lebih baik.

"Selama ini kita memang lebih banyak bermain di padang biasa. Sebab itu saya harap persembahan yang lebih baik dari pasukan apabila kita beraksi di padang biasa esok (hari ini).

"Beberapa pemain cedera tetapi saya berharap mereka sempat pulih sebelum perlawanan esok (hari ini).

"Apapun saya yakin kita masih ada lebih dari cukup pemain yang sedia disenaraikan dalam kesebelasan utama dan saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Johnny Dominicus juga sudah ada percaturan untuk menghadapi Pahang," katanya.

"Cabaran pasti bertambah sukar di suku akhir tetapi kita telah bersedia dan akan cuba yang terbaik," kata Johnny.

Mengenai kegagalan mencipta kemenangan pada saingan peringkat kumpulan, Johnny berkata, pemain telah mencuba bersungguh-sungguh tetapi hanya mampu mencatat keputusan seri.

"Kita hanya hampir menang pada kedua-dua perlawanan (peringkat kumpulan) itu tetapi kesilapan sendiri menyebabkan lawan membolosi gawang kita.

"Ketika menentang Pulau Pinang, kita dibolosi pada masa kecederaan. Kesilapan sendiri dan dibolosi pada saat akhir ini antara yang kita akan beri perhatian," kata Johnny.

Sebagai rekod ketiga-tiga gol Sabah pada saingan peringkat kumpulan dijaringkan pemain sayap, Ariusdius Jais.

Tiga lagi perlawanan suku akhir hari ini meyaksikan pertembungan antara Kedah dan Melaka, Perak menentang Wilayah Persekutuan dan Terengganu menentang Perlis.