Anda di sini

Polis Israel alih karavan dekat perkampungan Badwi di Tebing Barat

Advertisement
 Penduduk Palestin menunjuk perasaan di hadapan tentera Israel selepas pasukan tentera mengalih teratak yang didirikan oleh aktivis Palestin untuk membantah rancangan Israel memusnahkan perkampungan Badwi Palestin, Khan al-Ahmar, di Tebing Barat semalam. — Gambar Reuters
LAWAN: Penduduk Palestin menunjuk perasaan di hadapan tentera Israel selepas pasukan tentera mengalih teratak yang didirikan oleh aktivis Palestin untuk membantah rancangan Israel memusnahkan perkampungan Badwi Palestin, Khan al-Ahmar, di Tebing Barat semalam. — Gambar Reuters

KHAN AL-AHMAR, Wilayah Palestin: Polis sempadan Israel mengalih karavan semalam tidak jauh dari sebuah perkampungan Badwi di Tebing Barat, selepas mereka menerima arahan untuk merobohkannya walaupun menerima kritikan antarabangsa.

Operasi sebelum subuh di pinggir Khan al-Ahmar menimbulkan kebimbangan di kalangan 200 penduduk kampung bahawa tentera akan meroboh kampung mereka tidak lama lagi.

Polis sempadan membawa pergi lima karavan yang telah didirikan oleh aktivis yang berkempen untuk menentang kemusnahan kampung berkenaan.

Mereka menyekat akses ke kampung itu sewaktu operasi dan tiada pertelingkahan berlaku, kata seorang jurugambar AFP.

Badan kementerian pertahanan Israel yang menyelia aktiviti awam di wilayah Palestin berkata lima karavan telah dipasang secara haram sejak beberapa hari lalu.

“Pemasangan struktur ini diusahakan oleh wakil Pihak Berkuasa Palestin untuk membantah dan mengingkari keputusan Mahkamah Keadilan Tinggi Israel, dan untuk membantah pelaksanaan undang-undang Israel dalam Kawasan C,” kata COGAT.

Ia merujuk kepada 61 peratus kawasan Tebing Barat di mana Israel mempunyai kuasa sivil serta tentera.

Pada 5 September lepas, mahkamah agung Israel me-negakkan perintah untuk meratakan kampung itu atas alasan bahawa ia dibina tanpa permit sah.

Bagaimanapun ia amat jarang sekali bagi penduduk Palestin untuk mendapatkan permit Israel bagi membina rumah dalam Kawasan C di Tebing Barat, di mana Khan al-Ahmar terletak.

Penangguhan sementara terhadap kemusnahan kampung itu luput kelmarin, yang bermakna tentera dapat melaksanakan perintah mahkamah pada bila-bila masa yang ia anggap sesuai.

Seorang jurucakap kampung, Abu Khamis, meramal-kan Israel mungkin akan menangguhkan kemusnahan buat masa sekarang untuk mengelak daripada mencetuskan kritikan antarabangsa menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hujung bulan ini.

Kampung berkenaan terletak di lokasi yang strategik dekat penempatan Israel dan di sepanjang jalan yang menuju ke Laut Mati.

Terdapat amaran bahawa membina penempatan secara berterusan di kawasan itu akan pada akhirnya memecah-belah Tebing Barat kepada dua bahagian, sekali gus memberi tamparan maut kepada sebarang harapan yang masih ada bagi penyelesaian dua negara.  

“Di sana, terdapat beberapa penempatan yang dibenarkan berkembang secara semula jadi – jumlah penduduk secara semula jadi – tetapi di sini kami dilarang daripada membuat apa-apa,” kata Abu Khamis.                  

“Itu adalah rasisme, itu adalah aparteid.”

Pada Isnin lepas, Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol mengeluarkan seruan baharu agar Israel tidak memusnahkan kampung berkenaan, dan memberi amaran tentang akibatnya bagi penduduk selain “prospek bagi penyelesaian dua negara”.

Pihak berkuasa Israel telah menawarkan lokasi alternatif kepada penduduk Khan al-Ahmar, tetapi penduduk kampung berkata lokasi pertama terletak dekat sebuah tapak pelupusan sampah dan lokasi terbaharu berdekatan dengan sebuah loji perawatan kumbahan. — AFP

Advertisement