Anda di sini

Penahanan kapal ada hubung kait tuntutan bertindih Malaysia dan Indonesia

DJATI
DJATI

TAWAU: Isu penahanan kapal nelayan jenis pukat lengkong milik rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia mungkin memerlukan campur-tangan pemerintah tertinggi kedua-dua negara berjiran untuk mencari solusi yang terbaik.

Berikutan, tindakan penahanan kapal nelayan terbabit dikatakan mempunyai hubung kait dengan wilayah perairan yang menjadi tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia.

Ketua Perwakilan Republik Indonesia (KRI) Tawau Sulistijo Djati Ismojo berkata pihaknya tidak dapat mencampuri kes terbabit kerana melibatkan isu di Ambalat.

“Kami (KRI Tawau) tidak ada kuasa kerana kes ini bersangkut-paut urusan di sempadan (kawasan perairan di Ambalat melibatkan tuntutan bertindih yang belum selesai).

“Kami ada dimaklumkan oleh polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai hal ini, tetapi saya meminta mereka berhubung terus dengan Jakarta.

“Namun, kami harap hal ini dapat diselesaikan dengan baik, sebagaimana kesepakatan yang sudah dicapai (antara kedua-dua kerajaan berkaitan isu pertindihan),” katanya.

Djati berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo di sini hari ini, berhubung perkembangan penahanan kapal nelayan terbabit yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.