Anda di sini

Minuman keras dan rokok bernilai RM17 juta dirampas kastam di Sibu

Advertisement
Subromaniam () menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas.
Subromaniam (tengah) menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas.

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas barang seludup berupa minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM17.477 juta.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pada 5 September lalu sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sarawak telah membuat serbuan ke sebuah jeti persendirian di Jalan Salim/ Stabau, di sini.

Ujar beliau, dalam serbuan berkenaan pasukan tersebut menahan sebuah bot penunda bersama sebuah tongkang yang membawa 45 unit kontena kerana disyaki mengandungi barangan belum lulus kastam dari luar negara.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan mendapati 44 daripadanya mengandungi bir pelbagai jenama manakala sebuah lagi mengandungi rokok," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah Pengarah Kastam Negeri Datuk  Sharifah Halimah, Timbalah Pengarah Kastan Negeri Rameli Ahmad, Ketua Kastam Stesen Sibu Ramlan Tahir dan Ketua Cawangan Penguatkuasaan Kastam Sibu Abdul Razak Amin.

Menurut Subromaniam, dalam serbuan yang sama pihaknya turut menjumpai 403 kotak wain di dalam sebuah gudang yang terletak berhampiran jeti berkenaan.

Ujar beliau, seramai tujuh orang krew rakyat negara jiran berusia di antara 20 hingga 46 tahun ditahan dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Tambahnya, hasil siasatan awal juga mendapati kesemua barang rampasan berkenaan dibawa dari Vietnam.

Bercakap lanjut, Subromaniam menjelaskan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tanpa permit impot sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan/barang belum lulus Kastam.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta yang sama.

  • oleh
  • Advertisement