Anda di sini

Miliki barang curi: Majistret tolak pengakuan salah lelaki

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini, menolak pengakuan bersalah seorang lelaki yang memiliki sebuah kenderaan dipercayai barang curi.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus tidak menerima pengakuan Jutel Bandarang, 23, selepas tertuduh menafikan pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang menerima dan memiliki sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil.

Jutel bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu yang berlaku pada 30 Ogos jam 1.15 petang di Maktab Sabah, Jalan Persekutuan Tanjung Aru, di sini.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu anak mangsa melakukan laporan polis setelah melihat kenderaan milik ayahnya hilang kira- kira jam 5 pagi pada tarikh yang sama.

Tertuduh bersama seorang rakannya kemudian ditahan oleh pihak polis selepas mengesyaki kenderaan yang dinaiki mereka adalah miliki mangsa.

Bagaimanapun, rakan tertuduh berjaya melarikan diri, manakala tertuduh berjaya ditahan oleh pihak berkuasa.

Tertuduh juga didakwa membongkar dan meleraikan kenderaan curi terbabit untuk tujuan dijual kepada orang lain.

Untuk itu, mahkamah menetapkan tarikh 17 Oktober depan sebagai pengurusan kes ke atas tertuduh.

Mahkamah juga membenarkan ikat jamin RM3,500 deposit RM3,000 dengan cagaran dua penjamin tempatan, sementara menunggu kes selesai.

Tertuduh juga diarah melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Albert Basirin, manakala, tertuduh diwakili peguam Shareen Tang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).
 

  • oleh
  • Advertisement