Anda di sini

Malaysia perlukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang lebih kukuh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang lebih kukuh untuk melindungi orang awam sekiranya mereka melaporkan sebarang salah laku kepada pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata mustahak untuk memastikan orang ramai yakin dengan akta tersebut jika tidak tiada orang yang akan melaporkan sebarang salah laku.

“Perlu ada mekanisme efektif yang mana ia selamat bagi pemberi maklumat untuk melaporkan dan berasa terjamin dengan langkah yang diambil itu.

“Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS) mereka mempunyai Akta Dodd-Frank yang merupakan satu cara yang efektif untuk melindungi pemberi maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama beliau pada ‘Persidangan Audit Dalaman Sektor Awam 2018 – Tanggapan Nilai Awam’ di sini, semalam.

Akta Dodd-Frank 2010 adalah undang-undang persekutuan AS yang menempatkan peraturan industri kewangan di bawah pentadbiran kerajaan. Ia mewujudkan proses kawal selia kewangan untuk mengehadkan risiko dengan meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawaban.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Mohd Radzi berkata juruaudit dalaman dalam sektor awam perlu berbincang dalam kalangan mereka untuk mencari jalan bagi meningkatkan kebebasan dan ketelusan laporan mereka.

“Kita perlu menetapkan nada dan isyarat yang betul kepada orang awam kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah berulang kali menegaskan (kepentingan) mendukung integriti dalam kerajaan.

“Kita perlu ingat tujuan audit dalaman adalah untuk menambah nilai dan menambah baik operasi organisasi,” katanya.

Turut senada dengan pandangan timbalan menteri itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia (MIA) Dr Nurmazilah Datuk Mahzan berkata perlu untuk melihat kepada struktur jabatan audit dalaman masing-masing dalam sektor kerajaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya untuk meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawaban.

“Ketika ini, kami melihat tahap kesedaran tentang perkara ini telah meningkat dan menggesa setiap orang untuk mengambil langkah memupuk kejujuran dan integriti.

“Mengenai Akta Pemberi Maklumat, kerajaan juga perlu mendapatkan lebih banyak data yang relevan dan mengukur tahap pemahaman orang awam terhadap akta sekarang bagi memastikan keberkesanannya pada masa depan,” katanya.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 diluluskan oleh Parlimen pada Jun, 2010.

Matlamat akta tersebut adalah untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat menerusi kerahsiaan maklumat mereka, imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan mereka. — Bernama

Advertisement