Anda di sini

Lima individu ditahan, peluru, komponen senjata api dirampas

Advertisement
OMAR (dua kiri) menunjukkan senapang yang dirampas dari premis perniagaan yang diusahakan suspek.
OMAR (dua kiri) menunjukkan senapang yang dirampas dari premis perniagaan yang diusahakan suspek.

KOTA KINABALU: Polis menahan lima individu selepas terbabit dalam aktiviti penjualan serta pengunaan senjata api secara haram di Keningau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata selepas memperoleh maklumat dari risikan berterusan pihaknya menyerbu sebuah premis perniagaan di Keningau kira-kira jam 1.40 petang Khamis.

Katanya, pihaknya menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis berasal dari Kedah dan sudah menetap di negeri ini sejak 13 tahun dengan menjalankan perniagaan barangan kosmetik, beg serta barangan elektrik.

"Hasil serbuan berjaya menemukan pelbagai jenis peluru dan komponen senjata api termasuklah 78 butir peluru jenis 12 Bore, 20 kotak berisi peluru pellet untuk senapang angin, 30 kotak peluru new black, 90 kotak peluru untuk air rifle pellet, 10 kotak peluru ram jet, 18 komponen senapang angin serta 18 alat penyah bunyi.

"Suspek turut memandu arah anggota kita ke sebuah bilik di tingkat satu bangunan dan menunjukkan sembilan laras senapang angin pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya, suspek juga mengakui bekalan senapang angin, peluru jenis buckshot dan pellet timah diperoleh dari sempadan Mensalong Indonesia melalui orang tengah iaitu dua penduduk kampung.

"Suspek akan mendapatkan bekalan mengikut tempahan pelanggan dan setiap laras senapang angin yang dijual bernilai antara RM300 sehingga RM700 mengikut jenis senjata api terbabit.

"Peluru buckshot pula dijual pada harga RM10 sebutir manakala peluru pellet RM3 bagi satu unit kotak kecil," katanya.

Tambahnya, kesemua senjata api yang dirampas dianggarkan bernilai RM10,000 pada harga pasaran tempatan.

Omar berkata, hasil dari maklumat yang didedahkan suspek, pihaknya berjaya menahan empat lagi suspek warga tempatan berumur 20 hingga 40 tahun yang bertindak sebagai orang tengah, pembekal serta pelanggan dalam beberapa siri serbuan berasingan.

"Suspek kedua yang ditahan mahir dalam membaiki serta mengendalikan senjata api dan turut dirampas adalah tiga batang paip yang diubahsuai untuk dijadikan komponen laras senapang bakakuk serta alat mesin pengimpal.

"Tiga lagi suspek lain masing-masing berasal dari Kampung Kauran, Ulu Liawan dan Singgah Mata Keningau turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sejak 7 hingga 18 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api Penaliti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Omar juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam pembelian senjata api secara haram bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

  • oleh
  • Advertisement