Anda di sini

Lelaki disyaki pukul isteri direman empat hari

Advertisement

MIRI: Seorang suami yang ditangkap kerana disyaki memukul isterinya menggunakan sekeping papan diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Brian Bryan Mason setelah mendengar permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Daveora Julaimi dari Balai Polis Pusat Miri.

Ketika mengemukakan permohonan reman Daveora memberitahu, pada 11 September lalu seorang suri rumah berusia 25 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 8.50 pagi, 11 September lalu, semasa bangun dari tidur, suaminya memukul bahagian belakang badannya menggunakan sekeping papan hingga calar.

Selain itu, pengadu turut ditumbuk di bahagian muka dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mereka.

Malah menurut pengadu, ini bukan kali pertama suami bertindak sedemikian terhadapnya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 9.05 malam hari sama di sebuah rumah di Piasau Utara di sini,  polis telah menangkap suspek kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya Daveora berkata, reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 34 tahun dari Kampung Piasau Utara 1A di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan pemeriksaan doktor ke atas mangsa.

Mahkamah membenarkan reman empat hari ke atas suspek sehingga 16 September ini.

Advertisement