Anda di sini

Lebih sejuta MyKad dilaporkan hilang sejak 2016: JPN

PUTRAJAYA: Faktor kecuaian individu merupakan antara punca utama berlakunya kehilangan 1,076,224 MyKad seperti yang dilaporkan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tempoh tidak sampai tiga tahun sejak 2016 sehingga Ogos lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Jasri Kasim berkata berdasarkan statistik jabatan itu, kehilangan yang berpunca daripada faktor kecuaian pemilik MyKad sendiri adalah sebanyak 820,858 kes, manakala jenayah 242,863 kes dan bencana (12,503).

Bagaimanapun, katanya kes kehilangan itu mencatatkan penurunan setiap tahun, dengan 2016 mencatatkan 415,048 kes, tahun lepas 390,163 kes manakala setakat 31 Ogos tahun ini 271,013 kes.

“Pemilik MyKad sudah ada sedikit kesedaran betapa pentingnya dokumen peribadi itu kepada mereka dan nampaknya kenaikan kadar denda membuat mereka lebih berhati-hati dan tidak cuai sehingga menyebabkan berlaku kehilangan MyKad,” katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah eksklusif di Ibu Pejabat JPN di sini semalam.

Jasri berkata, kadar denda yang dikenakan JPN sejak Oktober 2015 ialah RM100 untuk kes kehilangan pertama, kes kedua (RM300) dan ketiga (RM1,000) berbanding sebelum hanya RM100 untuk kes kehilangan pertama, kedua (RM200) dan ketiga (RM300).

Tegasnya untuk kes kehilangan kali ketiga selain denda, pihak JPN juga akan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh sehingga 90 hari sebelum MyKad baharu boleh dikeluarkan.

Jasri berkata untuk kes-kes kehilangan yang berpunca daripada jenayah, bencana, golongan kurang upaya (OKU) dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah diberikan pengecualian denda dan hanya perlu membayar RM10 sahaja.

Dalam pada itu, katanya setakat 31 Ogos tahun ini masih terdapat 114,215 MyKad baharu yang belum lagi dituntut atas beberapa sebab.

Katanya antara sebab tersebut termasuklah MyKad lama yang dilaporkan hilang ditemui semula, kekangan masa, kos pengangkutan tinggi untuk pemohon MyKad di kawasan  pedalaman dan gagal membayar denda.

“MyKad yang tidak dituntut akan disimpan selama 36 bulan oleh pihak JPN dan jika tiada  tuntutan dibuat selepas tempoh itu, MyKad terbabit akan dilupuskan di dalam sistem dan secara fizikal,” katanya. — Bernama