Anda di sini

Kereta rempuh dataran sesak di China, 11 maut

 Gambar yang dirakam kelmarin menunjukkan pekerja perubatan memindahkan mangsa yang cedera di hospital selepas kereta dipandu oleh seorang lelaki merempuh sebuah dataran awam yang sesak di Hengdong, wilayah Hunan, tengah China. — Gambar AFP
PARAH: Gambar yang dirakam kelmarin menunjukkan pekerja perubatan memindahkan mangsa yang cedera di hospital selepas kereta dipandu oleh seorang lelaki merempuh sebuah dataran awam yang sesak di Hengdong, wilayah Hunan, tengah China. — Gambar AFP

BEIJING: Sebelas maut dan 44 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh sebuah dataran yang sesak di selatan China dan pemandu menyerang orang ramai dengan pisau dan penyodok untuk “membalas dendam” ke atas masyarakat bagi pensabitan jenayah silam, kata kerajaan semalam.

Penyerang memandu kereta ke dataran di bandar Mishui, sebahagian daripada kota Hengyang di wilayah Hunan, pada awal petang kelmarin, kerajaan Hengyang menyebut dalam satu kenyataan.

Pemandu itu, yang bernama Yang tetapi jantinanya tidak dinyatakan oleh kerajaan, memandu kereta itu seorang diri ke dataran, kemudian menyerang orang ramai mengguna-kan penyodok dan pisau, tambah kenyataan itu.

Yang mempunyai rekod jenayah yang lama dengan pensabitan silam kerana menjual dadah, mencuri dan menyerang orang, yang menyebabkan dia menyimpan keinginan bagi “membalas dendam ke atas masyarakat”, kata kerajaan.

Yang sudah ditahan, kata-nya, tanpa memberi maklumat lain.

Imej video yang disiarkan oleh media kerajaan menunjukkan beberapa mayat di atas jalan manakala orang awam merawat beberapa mangsa.

Kerajaan pada mulanya berkata tiga orang maut tetapi menaikkan bilangan kematian dalam kenyataan seterusnya.

Tiada petanda menunjukkan insiden itu ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Pada Februari lalu, 18 orang cedera apabila sebuah van mini terbakar dan menaiki laluan jalan kaki di kawasan sibuk bahagian tengah Shanghai dan merempuh pejalan kaki.

Siasatan menunjukkan kebakaran itu disebabkan oleh seorang pemandu yang merokok di dalam kende-raan ketika mengangkut bahan mudah terbakar secara haram.

Kerajaan amnya gelisah mengenai insiden sedemikian selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di bahagian utara Dataran Tiananmen, Beijing, pada 2013, dan membunuh tiga orang di dalam kereta dan dua orang awam.

Beijing menyalahkan pe-misah dari wilayah Xinjiang yang bergolak di barat China bagi kejadian itu. — Reuters