Anda di sini

Kerajaan cadang kerjasama dengan Indonesia tingkat pengeluaran padi

DAUD sedang beramah mesra dengan sebahagian yang hadir pada majlis makan malam berkenaan.
DAUD sedang beramah mesra dengan sebahagian yang hadir pada majlis makan malam berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi di negeri Sabah.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Dr Daud Yusof berkata, kerjasama itu penting kerana ketika ini Indonesia mampu mengeluarkan hasil sebanyak 10 tan per hektar manakala Sabah hanya mampu mengeluarkan hasil padi sebanyak 2 hingga 4 tan per hektar.

Beliau berkata kerjasama dengan Indonesia adalah salah satu usaha kerajaan membangunkan industri padi terutama di Sabah sekaligus membantu kementerian mencapai sasaran pengeluaran padi sebanyak 60 peratus.

"Jika diizinkan kita (kerajaan) akan bekerjasama dengan Indonesia bagi meningkatkan hasil padi di Sabah. Menerusi lawatan kerja saya ke Institut Pertanian Bogor (IPB) baru-baru ini saya lihat Indonesia mampu mengeluarkan hasil padi yang jauh lebih banyak berbanding negeri ini.

"Kita bercadang bekerjasama dari segi cara-cara penamanan yang berkesan kerana saya percaya mereka (Indonesia) mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit dan buktinya mereka mampu menghasilkan padi yang jauh lebih banyak berbanding Sabah, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sabah di salah sebuah hotel di ibu kota, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah.