Anda di sini

Kementerian Sumber Manusia akan pinda atau tambah baik sembilan akta

 Kulasegaran (kiri) beramah mesra bersama para hadirin selepas perasmian program ‘World Day against Child Labour 2018’ di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Kulasegaran (kiri) beramah mesra bersama para hadirin selepas perasmian program ‘World Day against Child Labour 2018’ di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia kini dalam proses meminda atau menambah baik sembilan akta menjelang akhir tahun ini, kata menterinya  M.Kulasegaran.

Beliau berkata pindaan itu perlu untuk meningkatkan standard buruh di Malaysia agar selaras dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan kerana undang-undang sedia ada termasuk Akta (Penggajian) Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966 sudah ketingggalan zaman dan perlukan perubahan.

Undang-undang lain yang akan disemak semula ialah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah, Ordinan Buruh Sarawak, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, katanya.

“Kementerian sedang melakukan kajian bagi pindaan itu, yang juga akan menerima cadangan-cadangan daripada pihak berkaitan untuk dipertimbangkan,”  katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2018 di sini, semalam.

Kulasegaran berharap untuk membentangkan sembilan undang-undang itu pada sidang parlimen akan datang pada Oktober.

Berhubung Akta Buruh Kanak-Kanak, katanya beliau telah mengarahkan pegawainya untuk melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan buruh termasuk menggaji kanak-kanak sebagai pekerja.

“Antara 2016 hingga  2018, terdapat lima kes membabitkan buruh kanak-kanak. Pada  2017, dua majikan didenda RM2,000 setiap seorang manakala satu lagi kes pada  2014 di bawah undang-undang antipemerdagangan orang didenda RM6,000,” katanya.

Kulasegaran mengakui terdapat beberapa faktor menyebabkan buruh kanak-kanak dalam sektor pertanian, perladangan dan kawasan luar bandar sukar untuk dihapuskan.

“Oleh itu, penguatkuasaan secara tetap adalah kunci untuk memastikan kanak-kanak dilindungi dan memastikan tiada kanak-kanak diambil bekerja sebagai buruh,” katanya.

Mengulas berhubung penyelewengan RM300 juta dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDF), Kulasegaran berkata laporan penuh berhubung perkara itu akan siap menjelang akhir bulan depan dan tindakan tegas akan diambil seperti disyorkan. — Bernama