Anda di sini

Inisiatif ‘One AirAsia’ kurangkan kos: Tony

Advertisement

KUALA LUMPUR: Inisiatif gabungan AirAsia Group Bhd dikenali sebagai One AirAsia, yang menggabungkan pelbagai syarikat sekutu serantaunya di bawah satu syarikat pegangan, menyediakan kecekapan kos kepada Kumpulan yang turut mengurangkan kompleksiti dan duplikasi dalam operasinya.

Dalam catatan terbaharu di laman Twitter, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata, harga minyak semasa yang susut dan rasional, memberikan perjalanan yang lancar kepada syarikat penerbangan tambang murah itu untuk pergi lebih jauh.

“(Harga minyak) ia menjadikan lebih mudah (untuk AirAsia) untuk berubah. Peluang yang hebat untuk kami meningkatkan penguasaan pasaran,” katanya dan menambah data serta pendigitalan mula menunjukkan momentum untuk memacu perolehan dan pengurangan kos.

AirAsia Group yang merangkumi unit di Malaysia, Indonesia dan Filipina, mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM2.56 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2018, meningkat 15 peratus tahun ke tahun daripada RM2.23 bilion pada suku pertama 2017.   

Pertumbuhan perolehan disokong oleh faktor muatan yang kukuh sebanyak 87 peratus dan 16 peratus peningkatan dalam penumpang yang angkut kepada 10.65 juta orang berbanding suku sama tahun lepas.  

Untung bersih operasi, tidak termasuk keuntungan sekali sahaja, meningkat sembilan peratus kepada RM309.3 juta di sebalik kos keseluruhan yang tinggi, perbelanjaan operasi pajakan pesawat, penyelenggaraan pesawat keseluruhan serta perbelanjaan baik pulih. — Bernama

Advertisement