Anda di sini

Florence makin hampiri pantai timur AS

Advertisement
 Pekerja kelihatan sedang bekerja untuk mengukuhkan papan lapis sebelum ketibaan Taufan Florence di Wilmington, Carolina Utara, Amerika Syarikat, kelmarin. — Gambar Reuters
PERLINDUNGAN: Pekerja kelihatan sedang bekerja untuk mengukuhkan papan lapis sebelum ketibaan Taufan Florence di Wilmington, Carolina Utara, Amerika Syarikat, kelmarin. — Gambar Reuters

WILMINGTON: Ribut Taufan Florence kelmarin berada di landasan untuk membadai pantai timur Amerika Syarikat dengan kuat, dan peramal cuaca memberi amaran tentang banjir dan hujan yang meng-ancam nyawa walaupun ia sudah reda dan menjadi taufan Kategori 2.

Georgia menyertai empat negeri tepi pantai lain untuk mengeluarkan deklarasi kecemasan apabila ramalan menunjukkan Florence akan membawa jumlah hujan lebat yang begitu tinggi ke negeri selatan itu.

Sementara Florence semakin dekat, Presiden Donald Trump serta pegawai tempatan dan negeri menggesa penduduk di laluan taufan itu untuk berpindah sebelum terlambat.

Rayuan untuk menjaga keselamatan diri dibuat sejauh angkasa lepas apabila angkasawan Jerman Alexander Gerst menghantar gambar taufan gergasi itu menerusi Twitter selepas ia diambil dari Stesen Angkasa Antarabangsa dengan amaran: “Berhati-hati, Amerika!”

Pusat Ribut Taufan Negara (NHC) berkata ribut maksimum Florence sudah reda kepada 175 kilometer sejam dan ia sudah diturun taraf kepada taufan Kategori 2 daripada Kategori 3 dalam skala ribut lima tahap Saffir-Simpson.

Ia merupakan penurunan kedua seumpamanya dalam masa beberapa jam, tetapi NHC yang berpangkalan di Miami menegaskan ia masih “situasi yang mengancam nyawa” kerana risiko ombak taufan di sekitar kawasan pantai.

Seramai 1.7 juta orang berada di bawah perintah evakuasi mandatori atau sukarela, dan penduduk di kawasan pantai memaku rumah dan premis perniagaan sebelum mereka meninggalkannya kelmarin tatkala taufan semakin dekat.

“Keluar daripada laluannya, jangan bermain-main dengannya, ia adalah besar, mungkin sebesar apa yang mereka pernah lihat,” kata Trump. “Kita akan menanganinya. Kita bersedia, kita berupaya.

“Melindungi nyawa adalah keutamaan tertinggi sekali,” ujarnya.

Florence diramal membawa hujan selebat satu meter di beberapa kawasan selepas ia tiba di daratan di Carolina Utara dan Selatan.

“Hujan ini akan menyebabkan banjir kilat yang membawa bencana dan banjir sungai yang signifikan,” kata NHC.

Ombak taufan yang meng-ancam nyawa setinggi 13 kaki turut diramalkan di beberapa kawasan selain kemungkinan bagi puting beliung di Carolina Utara.

“Ini adalah tumbukan Mike Tyson kepada pantai Carolina,” kata Jeff Byard, pentadbir bersekutu bagi tindakan dan pemulihan di Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan.

“Ini bukan satu tumbukan sipi,” kata Byard, yang memberi amaran tentang bekalan tenaga yang terputus, penutupan jalan, kerosakan infrastruktur dan kehilangan nyawa yang berpotensi.

Duke Energy, sebuah syarikat tenaga di negeri-negeri Carolina, menganggarkan sejuta sehingga tiga juta pelanggan mungkin akan terputus bekalan elektrik disebabkan oleh taufan dan ia mungkin akan memakan masa berminggu-minggu untuk dipulihkan.

Pada jam 11 malam kelmarin (waktu tempatan), pusat taufan berada 450 kilometer ke tenggara Wilmington, Carolina Utara, dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 17 batu sejam.

Taufan itu menuju ke pantai kedua-dua negeri tetapi hujan lebat juga dijangkakan di Virginia di utara dan Georgia di selatan.

Gabenor Georgia, Nathan Deal, mengisytiharkan ke-adaan darurat “selepas meng-ambil kira ramalan tentang laluan taufan ke selatan selepas tiba di daratan”.

“Negeri ini sedang menggerakkan semua sumber yang ada untuk memastikan keselamatan awam,” kata Deal. “Saya menggalakkan warga Georgia untuk bersiap sedia bagi kesan pedalaman daripada taufan itu selain ombak taufan di kawasan pantai.”

Keadaan darurat juga sudah diisytiharkan di Maryland, Carolina Utara, Carolina Selatan, Virginia dan Wa-shington.

Orang yang meninggalkan kawasan pantai Carolina Utara dan Selatan memenuhi lebuh raya kelmarin sementara Florence semakin mendekati wilayah rendah yang padat dengan rumah percutian tepi pantai itu.

Lorong beberapa lebuh raya utama ke bahagian timur telah ditutup untuk membolehkan trafik bergerak ke pedalaman, tetapi perjalanan ternyata perlahan di sepanjang yang sesak dengan kenderaan yang hendak keluar.

Carolina Selatan meng-arahkan evakuasi mandatori bagi sejuta penduduk tepi pantai manakala Carolina Utara mengarahkan evakuasi dari Outer Banks iaitu pulau-pulau penyekat yang merupakan sebuah destinasi pelancongan yang popular.

Di Virginia, 245,000 penduduk tepi pantai diarahkan untuk berpindah.

Florence sedang diekori di Lautan Atlantik oleh dua taufan lain – Ribut Taufan Helene dan Taufan Tropika Isaac.

Bagaimanapun Helene semakin reda dan tidak me-nimbulkan bahaya kepada darat, kata NHC, manakala Isaac mungkin akan membawa hujan lebat ke Martinique, Dominica dan Guadeloupe. — AFP

Advertisement