Anda di sini

Dua lelaki bunuh kucing di kedai dobi ditahan

Advertisement
Gambar yang disiarkan BH Online menunjukkan GAMBAR tiga suspek lelaki berdasarkan rakaman video penganiayaan seekor kucing yang dimasukkan dalam mesin pengering kedai dobi layan diri.
Gambar yang disiarkan BH Online menunjukkan tiga suspek lelaki berdasarkan rakaman video penganiayaan seekor kucing yang dimasukkan dalam mesin pengering kedai dobi layan diri.
KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seekor kucing dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi ditahan di dua lokasi di Gombak awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 26 dan 40 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat awam. Mereka direman empat hari bermula hari ini.

“Bagaimanapun, seorang lagi masih bebas dan diburu pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Samsor dilaporkan berkata polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai warga tempatan bagi menyelesaikan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan membunuh binatang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 50 saat di sebuah kedai dobi Taman Gombak Ria, Selasa lepas tular menunjukkan dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian pada kira-kira 12 tengah malam sebelum bangkai kucing itu ditemukan berlumuran darah di dalam mesin berkenaan.

Pihak polis bagaimanapun mengesahkan terdapat individu ketiga dalam CCTV itu. - BERNAMA

Advertisement