Anda di sini

Tinggal sehelai sepinggang

 Anggota bomba sedang menjalankan operasi pemadaman api ke atas Rumah Patrick Kebing yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang semalam.
RANAP: Anggota bomba sedang menjalankan operasi pemadaman api ke atas Rumah Patrick Kebing yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang semalam.

BINTULU: Dua keluarga membabitkan 15 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila Rumah Patrick Kebing di Jalan Tubau-Bakun ranap dalam kebakaran petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Bintulu merangkap komander operasi TPgB Mohamad Meramit berkata, kebakaran itu melibatkan lima pintu rumah panjang berstruktur tidak kekal yang terbakar seratus peratus.

Katanya, dalam operasi bantuan itu pihak bomba telah bertindak membuat pemadaman dengan memperolehi sumber air dari jentera bomba dan api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 3.50 petang.

“Dimaklumkan tiga pintu tidak didiami manakala dua pintu lagi masih berpenghuni yang mana satu pintu didiami sebuah keluarga melibatkan lapan orang dan sebuah pintu lagi didiami sebuah keluarga dengan tujuh orang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, kebakaran tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa berlaku dan operasi pemadaman ditamatkan sekitar jam 4 petang.

“Kawasan tersebut menghadapi masalah ketiadaan liputan komunikasi untuk Government Integrated Radio Network (GIRN) dan selular,” tambahnya.

Jelasnya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 petang bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera FRT, EMRS dan lapan anggota diketuai PBK II Pero Guyuh.

Turut membantu ialah BBP Samalaju dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan tujuh anggota diketuai PB Hazwan Nizam termasuk bantuan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).