Anda di sini

Orang Utan ditemui mati dengan kesan tembakan di Sungai Kinabatangan

Advertisement
SANDAKAN: Seekor Orang Utan ditemui mati  dengan kesan tembakan  di Sungai Kinabatangan pada Selasa.

Pegawai Seranta Jabatan Hidupan Liar Sabah Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata post-mortem ke atas Orang Utan betina  berkenaan menemukan tiga butir peluru penabur di dalam tubuhnya  dan haiwan itu mati akibat  pendarahan  dalaman yang teruk.  

Jabatan menerima laporan berhubung karkas haiwan  spesies paling terancam itu  dilihat hanyut di Sungai Kinabatangan dan petugas  Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan serta warden hidupan liar kehormat daripada HUTAN-Kinabatangan Orangutan Conservation memulakan pencarian, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Pasukan mencari menemui karkas tersebut pada hari sama kira-kira 500 meter dari tempat ia dilaporkan dilihat hanyut.

Siti Nur’ain berkata Orang Utan yang dianggarkan berusia 30 tahun tersebut mempunyai luka fizikal  pada abdomen, bahu dan kaki. 

Katanya satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian dan beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu agar menyalurkan maklumat kepada Pejabat Hidupan Liar Kinabatangan. - BERNAMA

Advertisement