MIRI: Dua remaja lelaki yang ditangkap kerana disyaki mencuri penutup bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang pekebun diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md. Syafique Md. Hilmie setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Johnny Mathew Jang dari Balai Polis Pusat Miri.
Dalam permohonannya Johnny memberitahu, pada 3 Ogos lalu seorang lelaki telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.
Dalam aduannya, pengadu, 50, mendakwa sekitar jam 8 pagi, 29 Julai di pekarangan rumahnya di Jalan Taman Jelita, Taman Tunku, beliau mendapati penutup bahagian belakang kenderaannya jenis pacuan empat roda telah hilang dipercayai dicuri.
Menurut pengadu, sebelum ini juga pernah berlaku kecurian membabitkan dua tayar berserta rim sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda miliknya.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.10 petang, 10 September lalu, polis berjaya menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah rumah di Lorong Setia 4, Taman Jelita Off Taman Tunku di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
Berikutan tangkapan ke atas suspek pertama, sekitar jam 3.30 petang hari sama, polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Suria Taman Jelita untuk menangkap suspek kedua berusia 18 tahun kerana disyaki terbabit.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam permohonan lanjutnya Johnny memberitahu, reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kedua-dua suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.
Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari sehingga 14 September ini.