Anda di sini

KM Sabah puas hati persiapan sambutan Hari Malaysia

Advertisement
 Shafie (kiri) memperkatakan sesuatu dengan Peter (kanan) dan Yeo (dua kanan) ketika melakukan tinjauan persiapan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di Kota Kinabalu semalam. — Gambar Bernama
TINJAU PERSIAPAN: Shafie (kiri) memperkatakan sesuatu dengan Peter (kanan) dan Yeo (dua kanan) ketika melakukan tinjauan persiapan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di Kota Kinabalu semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal puas hati dengan persiapan bagi sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 di Padang Merdeka, di sini yang berjalan lancar.

Beliau berkata, kecekapan semua yang terlibat dalam penganjuran acara sambutan berkenaan khususnya Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan itu Datuk Peter Anthony mempunyai pengalaman yang luas dalam menyusun atur penganjuran seumpama itu.

“Saya lihat semua berjalan lancar dan kita berharap ia dapat dijayakan dengan sempurna pada hari yang ditetapkan Ahad ini.

“Saya juga yakin ramai rakyat dari seluruh pelosok negeri ini akan hadir pada sambutan itu kerana sebagai rakyat Sabah kita perlu meraikan sambutan ini,” katanya semalam selepas meninjau persiapan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan pada 16 September ini.

Turut hadir ialah Peter yang juga Menteri Pemba-ngunan Infrastruktur Sabah dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai. — Bernama

Advertisement