Anda di sini

Kes lelaki didakwa bunuh isteri disebut semula 15 Oktober

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh isterinya yang berusia 67 tahun, hujung Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Sitimon Eging, 56, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh isterinya di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Kopungit di sini, jam 10.30 malam pada 28 Ogos lepas.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basirin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan tertuduh akan terus di direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Mengikut fakta kes, isterinya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 29 Ogos jam 2 petang di rumahnya di Kampung Kopungit, di sini.

Tertuduh kemudian meminta bantuan abang dan rakannya untuk membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 7.26 malam.

Pemeriksaan awal ke atas fizikal mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian badan mangsa dan siasatan awal diklasifikasikan kes mati mengejut (SDR).

Setelah proses bedah siasat dijalankan pada 30 Ogos jam 10.30 pagi di bilik bedah Jabatan Forensik HQE, mendapati punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah.

  • oleh
  • Advertisement