Anda di sini

Bot nelayan tiada sistem pengesanan

Advertisement

LAHAD DATU: Bot nelayan yang dinaiki dua mangsa culik di kawasan perairan Pulau Gaya, Semporna, awal pagi kelmarin, tidak dilengkapi kemudahan keselamatan Sistem Pengesanan Automatik (Automatic Identification System) atau AIS, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali.

Justeru Hazani sekali lagi menasihatkan pengusaha kapal dan bot-bot nelayan agar memasang peralatan dan kemudahan berkenaan di kapal atau bot masing-masing bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan kedudukan mereka sekali gus bertindak segera apabila berlaku sesuatu tidak diingini di laut.

“Pihak ESSCom telah pun berulang kali memberi peringatan tentang kepentingan pamasangan peralatan ini. Malangnya ada pengusaha kapal atau bot nelayan masih gagal mematuhinya.

“Pemasangan alat ini adalah pendekatan strategik yang boleh membantu pihak keselamatan membuat pemantauan sebarang aktiviti perkapalan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Hazani, sebelum ini (menjadi kebiasaan) kru kapal atau bot nelayan, apabila berdepan situasi jenayah di laut, mereka akan menghubungi majikan mereka dahulu dan selepas itu majikan pula akan menghubungi pihak keselamatan.

Katanya situasi itu menyebabkan pasukan keselamatan tidak dapat mengambil tindakan segera dan memberi ruang kepada penjenayah untuk melarikan diri.

Sementara itu, Hazani juga meminta semua pengusaha kapal dan bot nelayan serta kapal yang beroperasi di kawasan perairan ESSZone agar menyimpan ‘hot line’ nombor telefon Pusat Operasi ESSCom di kapal atau bot masing-masing bagi memudahkan mereka menghubungi ESSCom jika berlaku kes kecemasan.

Katanya semua pengusaha kapal dan bot nelayan juga perlu memaklumkan kedudukan kapal atau bot mereka kepada Pusat Operasi ESSCom semasa mereka berada di kawasan perairan penangkapan ikan ESSZone.

“Pihak ESSCom mengharapkan kerjasama daripada semua pihak pemilik kapal dan bot agar memandang serius saranan ini bagi membantu pasukan keselamatan memantau, berhubung dan berkomunikasi dengan kru kapal kapal dari semasa ke semasa apabila berada di perairan ESSZone,” katanya.

Kelmarin, kira-kira jam 12.30 tengah malam, dua lelaki yang juga kru bot nelayan diculik oleh dua lelaki bersenjata di perairan Pulau Gaya, Semporna.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika mengesahkan kejadian berkata kedua-dua mangsa yang berusia 30-an sedang menangkap ikan di perairan itu ketika kejadian berlaku. — Bernama

Advertisement