Anda di sini

Bekas kerani berdepan 35 tuduhan pecah amanah

Advertisement

SIBU: Seorang bekas kerani sebuah syarikat peladangan kelapa sawit di Kanowit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 35 pertuduhan pecah amanah.

Bintang Manggi, 42, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Stella Augustine Druce.

Mahkamah menetapkan 11 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM20,000 berserta dua penjamin bagi semua pertuduhan.

Tertuduh turut diperintah mengemukakan deposit RM5,000 kepada mahkamah, selain melaporkan diri di Balai Polis Lutong, Miri sebulan sekali.

Mengikut pertuduhan, Bintang didakwa melakukan pecah amanah melibatkan 35 cek milik syarikat peladangan kelapa sawit di Kanowit antara 11 Ogos 2010 dan 25 Jun 2014.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun serta dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak lagi bekerja dan telah berkeluarga juga diarahkan mahkamah agar mendapatkan khidmat seorang peguam bela.

Advertisement